Tuesday, August 16, 2022

Tidak malu kongsi cerita kanser

Secara Rawak

KUCHING: Leukemia, merupakan salah satu kanser keenam paling kerap dihidap orang dewasa dan yang pertama dalam kalangan kanak-kanak.

Leukemia adalah sejenis kanser darah yang berasal daripada sum-sum tulang. Terdapat beberapa jenis leukemia dan data menunjukkan, kanak-kanak lebih cenderung dengan 95 peratus mengalami leukemia lymphocytic akut (ALL).

Sarawak juga tidak terlepas dengan penyakit ini apabila seorang pegawai perubatan Dr Tiong Hung Sung yang kini berkhidmat di Hospital Kapit disahkan menghidap ALL ketika berusia lapan tahun.

Menurut Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS), ALL adalah kanser darah akibat kekurangan sel darah yang sihat dalam badan. Berkongsi kepada media, SCCS berkata, Dr Tiong ketika berusia lapan tahun terpaksa tinggal di hospital untuk menjalani rawatan dan kemudian menyelesaikan rawatan terakhirnya selepas dua tahun.

“Walaupun terpaksa berdepan dengan kesakitan, cabaran terbesar Dr Tiong ialah melihat keluarganya berpindah dari Sibu ke Kuching, jauh dari rumah, tugas kerja dan komuniti untuk memenuhi tuntutan rawatannya.

“Keyakinan dan galakan daripada keluarga, rakan, kakitangan perubatan dan sistem sokongannya membuatkan dia terus bertahan. “Beliau sentiasa berterima kasih kepada mereka dan sehingga 2022, Dr Tiong telah terselamat daripada kanser kanak-kanak selama 20 tahun,” kongsi SCCS itu dalam catatan media sosial, pada Sabtu.

Jelas Dr Tiong, beliau tidak pernah terfikir bahawa peluang akan datang sepenuhnya dalam 20 tahun kemudian, memberikan penjagaan, sokongan dan rawatan untuk yang memerlukan.

Dr Tiong berkongsi kadangkadang orang akan bertanya kepadanya tentang parut di tangannya akibat kemoterapi, namun beliau tidak berasa malu untuk berkongsi perjalanannya hidup dengan kanser kepada pesakit.

“Sebab orang lain tidak pernah tahu jika ada orang sekeliling yang mengalami keadaan yang sama dan cerita saya mungkin mendorong mereka untuk terus berjuang,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru