Friday, August 12, 2022

HFMD: Jangkitan melonjak 822 kes di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Jangkitan penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) di Sarawak terus meningkat, daripada 25 kes pada minggu epidemiologi (ME) ke-18 kepada 822 kes pada ME ke-21.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara tersebut amat membimbangkan dan ibu bapa dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan jika dijangkiti.

“Ibu bapa juga diingatkan untuk tidak menghantar anak-anak ke tadika, taska, atau sekolah jika mereka mempunyai simptom bagi mengurangkan penularan jangkitan.

“Sekiranya mereka kelihatan tidak sihat atau semakin sakit, ibu bapa dinasihatkan membawa anak itu berjumpa doktor atau ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya dalam sesi temu bual bersama REDfm RTM Sarawak.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga memberitahu bahawa HFMD hanya boleh merebak dari manusia ke manusia. “Kaedah utama penyebaran adalah melalui hubungan terus dengan orang yang menghidap penyakit itu, najis ke tangan dan tangan ke mulut, penyedutan titisan yang disebarkan melalui batuk dan bersin.

“Penyakit ini biasanya bermula dengan demam, kurang selera makan, tidak sihat dan selalunya dengan sakit tekak.

“Satu atau dua hari selepas mula demam, kudis yang menyakitkan biasanya timbul di dalam mulut yang bermula sebagai bintik merah kecil yang melepuh dan kemudiannya berkembang menjadi ulser. Kudis biasanya terletak pada lidah, gusi, dan bukal mulut,” ujarnya.

Tambahnya, kemudian ruam kulit yang tidak gatal berkembang dalam tempoh satu atau dua hari dengan mempunyai bintik merah rata atau timbul dan kadang kala dengan lepuh.

“Ruam biasanya terletak pada tapak tangan dan kaki, ia juga mungkin muncul pada punggung atau alat kelamin.

“Bagaimanapun, ada juga penghidap HFMD mungkin hanya mengalami ruam atau hanya luka mulut,” jelasnya.

Sehubungan itu, orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil dinasihati supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko dijangkiti. “Orang ramai diingatkan untuk sentiasa menjaga kebersihaan, sentiasa mencuci tangan, menutup mulut dan hidung apabila batuk atau bersin; tidak berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu dan sudu.

“Ibu bapa dinasihatkan tidak membawa anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas antara lain. “Ibu bapa juga tidak boleh mencucuk atau memecahkan lepuh HFMD dan mereka harus mencuci tangan mereka selepas membalut lepuh dan menyediakan set peralatan makan yang berasingan untuk anak-anak,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru