Sunday, June 26, 2022

Guna jet ski untuk operasi menyelamat

Secara Rawak

KUCHING: Pasukan penguat kuasa termasuk polis di Sarawak disarankan menggunakan pengangkutan air termasuk jet ski dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia penting bagi memastikan pasukan dapat sampai ke lokasi kejadian dengan cepat khususnya di kawasan luar bandar.

“Ia khususnya bagi penempatan penduduk tebingan sungai kerana baru-baru ini dilaporkan sebanyak empat kejadian lemas dan sebagainya berlaku menyaksikan pasukan polis tiba dahulu dilokasi.

“Jadi ia adalah berbaloi untuk polis turut mempunyai pasukan penyelamat sendiri yang mempunyai pengangkutan jeti ski kerana ketibaan yang cepat dilokasi amat penting apabila berlaku kecemasan.

“Malah ia juga salah satu mod pengangkutan air yang sangat pantas sekali gus memberi keyakinan kepada masyarakat untuk menghubungi pihak polis,” katanya.

Adun Dalat itu berkata demikian selepas merasmikan Program Konvoi Jet Ski Sarawakku Sayang yang dianjurkan bersama Kelab Jet Ski Dalat, Kelab Jet Ski Kuching dan Kelab Sukan Rekreasi Pulau Li Hua di Tebingan Kuching, pada Sabtu.

Menurutnya lagi, beliau yakin Sarawak boleh mempelopori usaha tersebut kerana pengangkutan air merupakan kedua terpenting dan terbesar di negeri ini.  “Walaupun sekarang sudah ada jalan raya, pengangkutan sungai tetapi penting dan masih relevan selain banyak penduduk kita yang menetap di tebingan sungai,” ujarnya.

Sementara menurut Ketua Polis Dalat DSP Saga Chunggat, sekatat ini hanya polis marin di Bahagian Kuching yang mempunyai pasukan jet ski, manakala bahagian lain di Sarawak belum lagi.  “Pada tahun lepas dalam kejadian di Ulu Bauh, saya boleh sampai ke tempat kejadian dengan menggunakan jet ski dalam tempoh 30 minit berbanding menggunakan bot selama lebih dua jam.

“Anggota penyelamat yang tiba dahulu adalah amat penting, kerana masa menyelamat merupakan aspek paling penting,” tegasnya.  Dalam perkembangan berlainan, Program Konvoi Sarawakku Sayang melibatkan 19 jet ski melalui sungai dan Laut China Selatan dari Dalat sehingga ke Kuching telah dilaksanakan.

Mereka bermula dari Dalat melalui Batang Oya, Sungai Kut, Batang Igan, Batang Rajang, keluar ke laut dan kembali ke Telaga Air., seterusnya mengelilingi Santubong, Bako, Pulau Satang, Sematan, Bau serta Kuching.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru