Sunday, September 25, 2022

GST: Tunggu masa sesuai, bukan masa terdekat

Secara Rawak

KUCHING: Cadangan untuk memperkenal semula Sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dialu-alukan, namun bukan dalam masa terdekat. Pakar ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, cadangan tersebut boleh dilaksanakan, tetapi perlu menunggu masa yang sesuai apabila ekonomi sudah kembali pulih.

“Pelaksanaan semula GST sudah tentu akan meningkatkan kutipan hasil kerajaan. Ia boleh digunakan untuk pembangunan sosioekonomi, pemberian subsidi, dan meringankan beban kos hidup rakyat.

“Pada masa sama, ia juga diyakini dapat mengurangkan defisit fiskal, sekali gus menaikkan kedudukan Malaysia oleh Agensi penarafan kredit antarabangsa seperti S&P Global Ratings (S&P), Moody’s, dan Fitch Group,” katanya pada Sabtu.

Tambahnya, jika ia benar-benar dilaksanakan sekalipun, kerajaan perlu menurunkan kadar GST agar tidak terlalu membebankan rakyat. Mengulas lanjut, kerajaan perlu mencari pendekatan untuk mendedahkan kepentingan pelaksanaan GST terhadap sesebuah negara.

“Kerajaan perlu meluaskan program berkaitan GST untuk memberi penerangan dan pengetahuan asas berhubung cukai tersebut kepada rakyat dan pengusaha, lebih-lebih lagi penduduk luar bandar,” katanya ringkas.

Beliau turut mencadangkan agar GST diperkenal di peringkat sekolah, kolej atau universiti melalui pengajaran subjek Pengetahuan Am agar mereka lebih memahami cukai tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri mengakui bahawa kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenal semula cukai GST. Pelaksanaan tersebut diyakini dapat menjadi satu langkah efektif bagi membantu menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat. Katanya, kerajaan sedar mengenai persepsi negatif terhadap GST, namun pilihan terhad untuk menambah tabungan Kerajaan Persekutuan.

“Justeru, kerajaan berminat mengembalikan GST kerana mahu mengembangkan asas pendapatannya dan menanggung beban subsidi awam,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru