Tuesday, August 16, 2022

Bina jalan guna tayar terpakai?

Secara Rawak

KUCHING: “Kita semua boleh berganding bahu untuk menangani perubahan iklim dan menjadikan Sarawak sebahagian daripada penyelesaian global untuk kelestarian alam sekitar dunia,” jelas Pengarah ZHA Environmental Sdn Bhd Bernard Yong.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya telah mengumpul dan mengitar semula lapan juta tayar terpakai di Sarawak, iaitu lebih sejuta tayar setiap tahun, bagi mengelakkan ia mencemarkan alam sekitar.

Menurutnya, kajian menunjukkan bahawa penurunan sedikit banyak 1 psi (paun per inci persegi) dalam tekanan tayar bukan sahaja akan menyebabkan tayar haus, tetapi boleh menyebabkan ketidakcekapan bahan api mengakibatkan tambahan 37 kilogram pelepasan karbon dioksida (CO2) bagi setiap kenderaan setiap tahun.

“Dengan hampir dua juta kenderaan di Sarawak, ini bermakna pelepasan tambahan sebanyak 74,000 tan metrik CO2 setahun berlaku.

“Ia memerlukan lebih tiga juta pokok setahun untuk menyerap semua pelepasan CO2 tersebut,” katanya semasa Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Mydin Tunku Vista, di sini, pada Sabtu.

Pengarah ZHA Environmental Sdn Bhd Bernard Yong

ZHA merupakan sebuah syarikat pengurusan sisa tayar terpakai terbesar di negeri ini dan dilesenkan Kerajaan Sarawak untuk menjalankan program pengurusan tersebut di seluruh negeri.

Bernard turut menyampaikan mesej bahawa langkah penjagaan tekanan tayar yang betul juga dapat membantu mengurangkan pelepasan CO2, yang pada masa sama memanjangkan jangka hayat tayar mereka.

“Saya yakin semua orang dapat merasai cuaca semakin panas setiap tahun. Apabila hujan pula, ia akan menyebabkan banjir kilat terus berlaku. Itu menunjukkan bahawa kita sedang mengalami iklim yang melampau.

“Ini sebabnya kita perlu bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar kita. “Dengan hanya memeriksa tekanan udara tayar kita dari semasa ke semasa turut memberi kesan terhadap alam sekitar, di samping dapat memanjangkan jangka hayat tayar sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa ZHA sedang menjalankan penyelidikan dan pembangunan berhubung teknologi inovatif terpakai iaitu getah dan tayar kitar semula boleh digunakan untuk membina jalan yang tahan lebih lama. “Ia lebih mampan, kurang penggunaan sumber untuk membaiki jalan raya serta tidak perlu kerap dibaiki,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru