Sunday, June 26, 2022

Anda mahu GST diperkenalkan semula?

Secara Rawak

Kini sekali lagi heboh isu berkaitan pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Kerajaan BN melaksanakan sistem cukai berkenaan pada  1 April 2015 di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

Namun sistem itu  kemudiannya dihapuskan oleh Kerajaan PH tidak lama selepas memerintah. GST merupakan antara isu utama, selain 1MDB menjelang PRU-14 pada 2018.  

Itulah sebabnya, melalui manifestonya yang tebal, PH berjanji untuk menghapuskan GST jika berjaya menumbangkan BN. Itulah yang telah berlalu tidak lama selepas PH memerintah. Kelihatannya sebahagian rakyat dan pengundi di negara ini  terpengaruh oleh kempen dan propaganda PH.

Sedangkan sebenarnya, BN telah menjalankan kajian yang mendalam dan terperinci mengenai baik buruk pelaksanaan GST berbanding sistem cukai lain, termasuk SST. Maksudnya, cukai itu bukan dilaksanakan tanpa perundingan dan libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk pakar ekonomi. 

Memang, mana-mana sistem percukaian pun ada kebaikan dan kelemahannya, termasuk SST dan GST. Tetapi seperti isu lain membabitkan negara dan rakyat, GST juga begitu banyak dipolitikkan di negara ini. Hakikatnya, mereka yang menyokong GST akan ada hujahnya manakala yang menolaknya pasti ada hujah juga. 

Ini soal membabitkan, apakah kebaikannya kepada rakyat dan negara pada jangka panjang. Kalaupun sesuatu sistem itu ada kelemahan, pasti ada jalan penyelesaiannya untuk menghapuskan kelemahan itu ataupun mengurangkannya. 

Namun, disebabkan  parti politik mahu memastikan kemenangan, yang lebih diutamakan adalah bagaimana untuk menyemarakkan api kemarahan rakyat terhadap kerajaan. Perlu diakui tidak ada sistem cukai yang sempurna, sama seperti tidak ada sistem politik yang serba sempurna. Tanyalah mana-mana pakar ekonomi dan percukaian atau pemimpin politik.

Kalaupun terdapat kesilapan di pihak BN ketika melaksanakannya mungkin kadarnya agak tinggi, iaitu 6 peratus. Sedangkan sepatutnya, ia sepatutnya mengambil langkah yang diambil oleh Singapura ketika melaksanakan sistem itu. Kadarnya sepatutnya bermula rendah dan dinaikkan secara perlahan-lahan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara.

 Kesilapan PH ialah menghapuskan GST; sedangkan sepatutnya kerajaan 22 bulan itu, sepatutnya menurunkannya kepada mungkin 3 atau 4 peratus.

Sebagai rakyat, kita tentu bingung dengan kerenah pemimpin politik negara kita.  Adakah mereka benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat dan masa depan negara? Adakah keputusan mereka hanya untuk kepentingan jangka pendek? Juga asalkan agenda politik mereka tercapai? 

Seyogia diingatkan, Malaysia bukan satu-satunya negara yang melaksanakan GST. Ketika ini, 160 negara di dunia ini melaksanakan sistem percukaian berkenaan, termasuk negara maju dan membangun.

Apakah makna dan implikasinya semua ini? Adakah pemimpin atau negara berkenaan bodoh dan tidak mementingkan rakyat mereka? Adakah mereka tidak membuat kajian sebelum melaksanakannya? Adakah negara itu tidak mempertimbangkan baik buruknya GST sebelum melaksanakannya?

Daripada jumlah itu, tujuh adalah dalam kalangan negara Asean, 19 di Asia, 53 di Eropah, tujuh di Ocenia, 44 di Afrika, 11 di Amerika Selatan, dan 19 di Caribbean, serta Amerika Tengah dan Utara.

Saya hendak ingatkan bahawa kadar GST yang dikenakan oleh negara terbabit adalah setinggi lebih daripada 20 peratus. Hungary mengenakan kadar 27 peratus, Iceland dan Faroe Islands 25 peratus, dan  Finland 24 peratus. 

Dalam kalangan negara Asean, GST di  Filipina ialah 12 peratus, Indonesia, Kemboja, Vietnam dan Laos sebanyak 10 peratus, manakala di Thailand dan Singapura 7 peratus.  Ya, sedangkan di Malaysia ketika GST dilaksanakan, hanya 6 peratus. Itu pun kita sudah heboh. Itu belum lagi mengambil kira ribuan barangan dikecualikan daripada dikenakan GST. Boleh dikatakan, kadar itu antara yang terendah di dunia. 

Negara yang paling awal melaksanakan GST ialah Honduras dan Brazil  pada 1964, Denmark (1967), Norway (1970), Uruguay dan Ireland (1972), Itali (1973), Chile (1974). Berdasarkan data, Malaysia negara yang paling lambat melaksanakannya. 

Sesuai dengan slogan ‘Malaysia Boleh’, Malaysia juga negara pertama di dunia yang membuat pusingan U atau mengubah balik sistem cukai berkenaan kembali kepada SST. Tidak ada mana-mana negara lain yang berbuat demikian. Anda fikirkan sendiri apa maknanya ini semua? Adakah itu menunjukkan  kepintaran kita atau kebebalan kita?

Kita perlu bercakap berdasarkan data, fakta dan hujah konkrit, dan bukannya emosi, apatah lagi jika sesuatu wacana itu bersalutkan agenda politik jangka pendek.

Kia tidak sepatutnya membuat pusingan U hanya atas alasan politik. Mana-mana kerajaan yang berkuasa atau mengambil alih kuasa daripada kerajaan terdahulu, perlu utamakan masa depan negara. Adakah benar GST itu membebankan rakyat? Atau sistem SST itu tidak membebankan?  Memang, rakyat yang tidak faham akan bagaimana sistem cukai dikenakan terhadap mereka, tidak akan mudah memahaminya. 

Sebaliknya, mereka mudah terpengaruh oleh hujah dan propaganda yang disebarkan oleh pihak berkepentingan. Rakyat kita perlu dididik dan diajar berasaskan fakta, data dan kepentingan jangka panjang mereka dan negara. Negara akan jahanam kalau kita asyik bermain politik.

Memang ketika ini, kita sedang berdepan  kenaikan harga barang. Fenomena harga barang naik akan terus berlaku. Bilakah harga barang dan kos sara hidup tidak pernah naik di negara ini? Kaji sahaja trend kos makanan dan sara hidup di negara ini dalam tempoh 30 atau 50 tahun lalu.

Biasanya, sistem cukai yang dapat diterima ialah mengenakan cukai yang lebih untuk golongan yang kaya dan berpendapatan tinggi. Cukai itu akan akan dapat membantu golongan miskin termasuk B40. Memang, GST sama seperti SST,  ialah cukai perbelanjaan atau penggunaan dan cukai nilai tambah (VAT). 

Maksudnya, rejim cukai  ini mengenakan cukai kepada perbelanjaan tertentu oleh pengguna. Pendek kata, anda guna atau beli, anda bayar cukai.  Meskipun GST dikenakan di setiap rangkaian pengedaran, tetapi kesemua cukai di setiap peringkat boleh dituntut semula, kecuali kepada pengguna akhir. 

GST lebih telus berbanding SST. GST dapat mengurangkan kesan cukai bertindih yang lebih kerap berlaku di bawah SST. 

Berdasarkan kadar adalah sama, pengguna akan membayar kurang di bawah GST berbanding SST. Justeru, kerajaan dapat mengelak sebarang kerugian cukai yang tidak dikutip kerana sistem ini lebih menyeluruh sifatnya. 

Dengan pengutipan cukai yang lebih menyeluruh dan telus di bawah GST, pasti akan meningkatkan kedudukan fiskal kerajaan.

Yang paling penting kalau kerajaan hendak memperkenalkan semula GST, ia perlu mempertimbangkan segala kemungkinan tentang kelebihan dan kekurangan sistem itu. Jika GST lebih baik daripada rejim cukai lain, mengapa tidak? 

Jika ia lebih menguntungkan kerajaan dan rakyat pada jangka panjang, ia wajar dilaksanakan. Jika ia baik untuk perniagaan, tidak ada sebab untuk kita tidak mempertimbangkannya secara serius. Sebarang kelemahan, termasuk pembayaran balik GST yang menjadi isu sebelum ini,  perlu diuruskan dengan cekap. Ya, asalkan jangan sekali lagi  kita melakukan pusingan U selepas ini. 

Jangan lupa, kerajaan perlu membuat penjelasan dan komunikasi yang berkesan agar rakyat dan pemegang taruh, termasuk ahli perniagaan benar-benar faham dan akhirnya memberi sokongan terhadap sistem cukai itu. 

Sebagai rakyat, kita perlu faham, kerajaan perlu mengutip pelbagai jenis cukai. Ini termasuk cukai pintu, cukai tanah, cukai jalan, cukai harta dan cukai pendapatan. Juga SST.  Hanya dengan adanya cukai berkenaan, negara mempunyai pendapatan untuk dibelanjakan, termasuk membayar gaji penjawat awam, melaksanakan projek pembangunan, dan memberi pelbagai bentuk bantuan seperti BR1M dan Bantuan Sara Hidup, serta bantuan kebajikan untuk golongan yang memerlukannya.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru