Tuesday, September 27, 2022

Pais telur belangkas

Secara Rawak

KUCHING: Festival Makanan Malaysia 2022 Nang Nyaman yang diadakan di Pusat Kraftangan Malaysia, Petra Jaya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pengunjung tidak terhad kepada penduduk tempatan berdekatan sahaja, malah menarik perhatian pelancong dari negara luar yang turut memeriahkan festival makanan tersebut.

Pelbagai jenis makanan tempatan Sarawak turut dijual kepada pelanggan yang hadir.

Menu yang sukar ditemui di kedai-kedai biasa turut disediakan seperti pais telur belangkas, linut segera, burasak (makanan Bugis) dan sebagainya.

Sementara, terdapat juga makanan tempatan lain disediakan di gerai-gerai termasuk laksa Sarawak, mi kolok, kerabu mangga, sambal asam terung, kuih-muih lokal dan lain-lain.

Festival yang diadakan itu membabitkan 30 buah tapak jualan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman tempatan disediakan bagi memperkenal serta mengangkat semula martabat makanan tersebut.

Selain mampu membantu merancakkan aktiviti pelancongan, festival ini juga diyakini dapat menggalakkan penyertaan komuniti agar terlibat dalam industri berasaskan seni dan warisan budaya.

Penganjuran program sedemikian adalah tepat dan seiring dengan usaha penciptaan semula atau memberi nafas baharu kepada produk pelancongan negara sebagai menambah dan mempelbagaikan produk pelancongan yang sedia ada.

Untuk makluman, program yang diadakan selama dua hari bermula 2 hingga 3 Jun itu secara keseluruhan dilihat mendapat sambutan yang sangat positif daripada pengunjung, malah para peniaga turut menzahirkan rasa syukur kerana barang jualan lari dijual.

Selain berpeluang mencuba juadah tempatan yang disediakan, orang ramai turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian sepanjang program dijalankan.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri telah merasmikan Festival Makanan Malaysia 2022 “Nang Nyaman” di Pusat Kraftangan Malaysia, Petra Jaya pada Khamis lalu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru