Friday, August 12, 2022

Bangkai buaya bersama beberapa kepingan rangka manusia ditemui di Trombol 

Secara Rawak

KUCHING: Satu bangkai buaya jantan seberat 300 kg dengan kesan rahang yang patah ditemui di perairan Kampung Nyabut, Trombol, di sini hari ini.

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berkata, buaya tersebut dipercayai telah mati pada tiga hari yang lalu.

Katanya, turut ditemui beberapa kepingan rangka manusia di dalam perut reptilia yang berukuran 15 kaki tersebut.

“Kesemua pihak yang terlibat dalam operasi ini belum dapat mengesahkan serta mengenal pasti sama ada buaya yang ditemui ini merupakan buaya yang terlibat dalam insiden yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki pada 21 Mei 2022 yang lalu, sebelum keputusan DNA disahkan benar oleh pihak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Sebelum ini, SFC berkata, Pasukan Swift Wildlife Action Team (SWAT) SFC giat menjalankan usaha-usaha pembururan buaya yang mengganas di beberapa lokasi termasuk di kawasan Trombol dan di Daerah Lundu.

Dalam pada itu, katanya, SFC merupakan badan pengawal-selia yang diberi mandat kuasa di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, selain mempunyai kepakaran dalam tugasan hal-hal berkaitan buaya.

“Kami ingin turut mengingatkan kepada orang awam bahawa kerja-kerja pemburuan dan penangkapan buaya perlu diserahkan kepada SFC dan bukannya mengambil tindakan sendiri kerana ianya adalah merbahaya kepada pihak tersebut dan juga orang awam.

“Selain itu, kerja-kerja sebegini memerlukan lesen dan permit kerana haiwan ini adalah terlindung di bawah undang-undang,” jelasnya.

Tambahnya lagi, SFC akan meneruskan usaha dalam meningkatkan pemahaman para penduduk tentang perihal buaya menerusi “Program 3M Buaya” di kesemua kawasan.

Jelasnya, program ini merupakan satu pendekatan yang diambil oleh SFC bagi membantu komuniti setempat untuk “Mengenali, Memahami dan Memulihara” Buaya.

“Program ini akan turut memberi pendedahan kepada orang ramai tentang kaedah untuk menangani konflik manusia dan buaya dengan lebih efisyen, meningkatkan pemahaman tentang buaya dan pada masa yang sama memperkasakan keharmonian antara manusia serta buaya demi memastikan keselamatan penduduk setempat,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru