Tuesday, August 16, 2022

SUPP kenal pasti calon berpotensi PRU-15

Secara Rawak

KUCHING: Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen telah mengenal pasti calon yang berpotensi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, mereka berkemungkinan tidak akan memilih Adun yang sedang berkhidmat untuk dicalonkan kelak.

“Kita cuba membuka peluang untuk orang lain, bukan mudah untuk seseorang memegang dua tanggungjawab (menjadi Adun dan Ahli Parlimen) dalam satu masa yang sama.

“Kerana sebagai ahli parlimen anda perlu menghadiri empat bulan dalam setahun persidangan parlimen di Kuala Lumpur dan di peringkat Dun anda perlu menghadiri banyak mesyuarat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai upacara menaikkan bendera sempena sambutan ulang tahun SUPP ke-63 di Ibu Pejabat SUPP dekat sini, hari ini.

Sim yang juga Timbalan Premier menambah, sememangnya sudah terdapat calon yang telah dikenal pasti di bawah Jawatankuasa Perhubungan Parlimen.

“Jawatankuasa ini juga akan membuat pemilihan akhir calon dan nama mereka juga akan diumumkan dalam masa terdekat (bergantung sama ada PRU diadakan pada Julai atau tidak),” ujarnya.

Sebelum ini, SUPP juga mengesahkan bahawa akan bertanding di tujuh kerusi tradisi pada PRU-15 dan untuk kerusi parlimen Serian yang dipegang oleh Datuk Seri Richard Riot Jaem akan dikekalkan.

Manakala, enam lagi kerusi tradisi SUPP melibatkan kawasan parlimen Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Sarikei, Miri serta Lanang akan dimuktamadkan kelak.

Sim memaklumkan beliau sendiri mengetuai Jawatankuasa Perhubungan Parlimen untuk Bandar Kuching; Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang (Stampin); Adun Pelawan Michael Tiang (Bandar Sibu); Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii (Sarikei), Adun Bukit Assek Joseph Chieng (Lanang) dan Adun Senadin merangkap Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin (Miri).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru