Tuesday, August 16, 2022

Mercu tanda baharu Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Pembinaan Kompleks Wisma Melayu Sarawak, mercu tanda baharu Kuching di Jalan Diplomatik, Petra Jaya akan diteruskan dalam masa terdekat dengan memasuki peringkat baharu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kompeks milik Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) itu kini sudah melepasi peringkat pertama.

“Kita sekarang ini sudah selesai peringkat pertama iaitu pembersihan tapak pembinaan. Justeru itu, pembinaan bangunan akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Apabila siap kelak, ia akan menjadi tempat perbincangan untuk semua mengenai keperluan serta masa hadapan masyarakat kita, demi kepentingan semua kaum,” katanya.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS berkata demikian pada Majlis Samarindok Aidilfitri yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, malam kelmarin.

Dalam majlis yang sama, AKYBMS menerima suntikan sebanyak RM15 juta daripada Kerajaan Sarawak untuk meneruskan pembinaan kompleks serta pelaksanaan aktiviti berkaitan.

Menurutnya, pelbagai projek AKYBMS yang mewakili seluruh penduduk Melayu Sarawak serta masyarakat Islam yang lain merupakan terjemahan kepada idea yang dicetuskan oleh Mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem supaya satu mercu tanda kaum Melayu Sarawak didirikan.

Terdahulu pada Disember 2020, majlis pecah tanah projek tersebut telah dilaksanakan dengan menyaksikan kerja-kerja pembersihan tapak dilaksanakan sebelum projek pembinaan bangunan dapat dimulakan.

Menurut Timbalan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS, Datuk Mohd Naroden Majais, fasa pertama projek terbabit dianggarkan menelan kos RM50 juta.

Wisma itu akan berkonsepkan tongkolok orang Melayu dengan bangunan dua tingkat. Seterusnya pembinaan bangunan untuk fasa pertama akan mengambil masa selama 24 bulan.

Ia bakal dilengkapi dewan serbagunan yang boleh menampung seramai 2,000 orang, galeri sejarah dan budaya melayu, surau, bilik fungsi, kafe, pentas terbuka dan taman budaya serta pejabat AKYBMS.

Sementara fasa kedua projek, ia melibatkan beberapa komponen seperti 10 tingkat ruang pejabat untuk disewa, hotel atau rumah tumpangan bajet, rumah kedai, restoran berkonsepkan warung serta pelbagai kemudahan lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru