Friday, August 19, 2022

Lima bahagian Sarawak berisiko menjelang Monsun Barat Daya

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Sarawak akan mengfokuskan lima bahagian titik panas (hotspot) iaitu Miri, Sibu, Mukah, Sri Aman dan Kuching bagi menghadapi peralihan Monsun Barat Daya yang dijangka akan melanda bermula Mei hingga Oktober, tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kesemua bahagian hotspot itu akan diberi tumpuan dalam operasi pemantauan yang akan dijalankan bergantung kepada maklumat Jabatan Metrologi Malaysia dan agensi-agensi berkaitan.

“Di Sarawak kita telah mengenal pasti beberapa Hotspot, salah satunya di Miri, Sibu, Mukah dan di beberapa tempat di Kuching secara terpencil.

“Miri ada beberapa tempat termasuk Baram, Tudan, selain di Sibu, Mukah, dan tahun lepas di Kuching pun ada cuma hasil analisa yang kita jalani puncanya mejoriti kerana aktiviti manusia.

“Sri Aman juga termasuk mengambil kira tragedi dulu supaya aktiviti penguatkuasaan dapat dibuat dengan lebih banyak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Majlis Persediaan Menghadapi Monsun Barat Daya di Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Dedahnya, perubahan daripada Monsun Timur Laut kepada Monsun Barat Daya yang akan mengakibatkan berlakunya kekeringan dan musim kemarau serta krisis air sehingga menyebabkan kebakaran hutan, belukar, tempat pelupusan sampah, tanah gambut.

Setakat ini katanya, seramai lebih 1,200 kakitangan bomba seluruh Sarawak telah bersedia merangkumi Miri 186 anggota, Limbang 64 orang, Bintulu 127 orang, Sibu 389 orang, dan juga Kuching (287), Sri Aman (113), Samarahan (178).

Bagi segi persediaan aset pula, beliau mendedahkan persiapan telah menjangkau 90 peratus terutama alat pemadaman kebakaran hutan dan kebakaran tanah gambut.

Tambahnya, frekuensi kebakaran di Sarawak tahun ini dijangka menurun dengan bantuan penguatkuasaan daripada agensi berkaitan dan Kerajaan Sarawak.

“Saya difahamkan Kerajaan Sarawak turut membantu dari segi penguatkuasaan menggunakan dron siang dan malam (Infrared) untuk mengesan apa-apa kebakaran pembakaran terbuka dilakukan oleh individu.

“Kita juga sering melakukan advokasi kepada masyarakat tempatan supaya mengelakkan kebakaran terbuka dan sekiranya perlu dilakukan mereka perlu mendapat kebenaran daripada agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan,” jelasnya.

Ujarnya, usaha dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan sedikit sebanyak memberi pendedahan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam mengelakkan kebakaran daripada berlaku.

Majlis turut disertai Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak (JBPMS), Datuk Khirudin Drahman @ Hussaini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru