Sunday, June 26, 2022

Kilang hidrogren pertama bakal diwujudkan di Samalaju, Bintulu

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak bakal mewujudkan sebuah kilang hidrogen pertama di Samalaju, Bintulu tahun ini kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.

Menurutnya, pembinaan kilang tersebut akan melibatkan kerjasama antara dua syarikat dari luar negara iaitu Samsung (Korea) dan Sumitomo (Jepun).

“Operasi pembinaan kilang ini dijangka akan mengambil tempoh dua hingga tiga tahun untuk siap.

“Apabila siap, ia akan digunakan untuk menghasilkan tenaga hidrogen. Selain kegunaan negeri, ia juga akan dieksport dan untungnya semua akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, tidak bermakna kita akan guna 100 peratus hidrogen. Sarawak akan menggunakan hanya 60 peratus hidrogen, dan tetap menggunakan kuasa-kuasa biasa seperti solar, elektrik dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Mydin Tunku Vista Petra Jaya, di sini, hari ini.

Tambahnya, penggunaan hidrogen dijangka menjadi sumber tenaga utama pada masa akan datang kerana ia mampu menghasilkan kuasa elektrik.

“Kita beruntung kerana Sarawak dianugerahkan dengan pelbagai sumber asli seperti sungai-sungai serta kadar hujan yang tinggi. Oleh itu, sumber tersebut perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kepentingan negeri.

“Semua orang boleh menghasilkan tenaga hidrogen, asalkan mereka memiliki sumber yang diperlukan.

“Justeru, melalui langkah mewujudkan kilang hidrogen ini, kita bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan minyak dan gas dari negara-negara luar, malah mengeksport sendiri hidrogen kepada negara yang memerlukan sekali gus mengaut hasil untuk Sarawak,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru