Sunday, June 26, 2022

Bekalan ayam stabil di Bintulu

Secara Rawak

BINTULU: Bekalan telur ayam di bahagian ini kini kembali stabil selepas berdepan kekurangan stok berikutan permintaan tinggi semasa perayaan Gawai Dayak dan Aidilfitri, baru- baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata isu kekurangan stok bekalan (telur) bukan masalah besar kerana ia hanya berlaku sehari atau dua hari sahaja.

Menurutnya, berikutan penggunaan yang banyak dalam kalangan masyarakat Dayak terutama Iban sebelum perayaan Gawai antara punca utama berlakunya kekurangan bekalan (telur).

Namun, situasi tersebut kembali stabil apabila pihak penternak mengisi semula bekalan setiap dua hari.

Tambah beliau lagi, jumlah penggunaan telur di Sarawak adalah sebanyak 2.2 juta biji sehari manakala jumlah pengeluarannya pula adalah sebanyak 2.5 juta sehari.

Dalam pada itu, beliau berbangga dengan pihak pengurusan Pasaraya Mini Farley Bintulu yang menjual ayam dan telur ayam pada kadar harga yang lebih murah berbanding harga siling maksima yang ditetapkan kementerian berkenaan menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaaan (SHMMP) Hari Gawai 2022 yang berkuatkuasa dari 29 Mei hingga 4 Jun ini.

Malah, katanya, harga jualan bagi kepak ayam juga dijual di bawah harga siling.

Justeru, katanya, tiada timbul isu kekurangan bekalan ayam maupun telur ayam di bahagian Bintulu.

Terdahulu, Alexander dan rombongan yang disertai Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Sarawak, Peter J Berinus Agang dan pengurus Pasaraya Farley Bintulu mengadakan walk-about di pasraaya terbabit bagi meninjau harga siling lapan barangan sempena SHMMP Hari Gawai 2022.

Lapan barangan Skim Harga Maksimum Perayaaan Hari Gawai itu adalah ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih (China) dan kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing,cili kering, babi hidup, daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru