Friday, August 19, 2022

Zahid: Kembali ke Malaysia Asal, tolak retorik Malaysia Baharu PH

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kesan daripada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menyaksikan negara tidak pernah lagi merasai suasana kestabilan sebagaimana zaman BN memerintah.

Katanya, ia terjadi atas beberapa faktor antaranya keghairahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menawarkan Malaysia Baharu dengan merungkaikan asas toleransi pelbagai kaum dengan cubaan merobek sifat keindukan Bumiputera Melayu Islam dalam kemajmukan.

“Pendekatan Malaysia Baharu untuk mewujudkan kesamarataan menggantikan prinsip kesaksamaan yang digagaskan BN telah melebarkan lagi jurang hingga mencetuskan kegusaran dan menajamkan prejudis hingga menggugat keharmonian.

“Formula Malaysia Baharu yang kononnya mahu diterjemahkan melalui tadbir urus yang baik dan sifat ketelusan rupanya indah khabar dari rupa. Kuasa yang dimandatkan rakyat dieksploitasi sepenuhnya untuk membunuh seteru politik, bahkan cubaan memadamkan segala legasinya termasuklah memanipulasikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang.

“Malah tergamak memandulkan institusi Parlimen untuk kekal berkuasa.

Tiadanya kesetiaan kepada apa yang disepakati oleh para pembina negara dahulu, mengakibatkan kesusilaan semakin pudar,” katanya dalam ucapan dasar di Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun Ke-48 BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini semalam seperti dipetik Umno Online.

Sehubungan itu ujar Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, apa yang dilalui selama hampir empat tahun ini diyakini bahawa hanya acuan BN sahaja yang mampu mencipta kestabilan.

“Kita harus kembalikan ‘Malaysia Asal’ bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ yang ternyata gagal.

“Malaysia Asal atau The Original Malaysia yang dimaksudkan adalah berpandukan formula BN yang digagaskan oleh ‘our forefathers’ yang telahpun dipaterikan melalui Perlembagaan Persekutuan dan diperkasakan lagi melalui Rukun Negara dan pelbagai dasar-dasar berteraskan prinsip toleransi dan kesetiaan yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya.

Justeru jelasnya, BN beriltizam untuk mengembalikan acuan Malaysia yang Asal.

“Namun dengan penambahbaikan bagi memperbaiki segala kelemahan dan menjernihkan segala keterlanjuran lalu, termasuklah dengan agenda pembaharuan institusi agar prinsip tadbir urus yang baik (good governance), ketelusan (transparency) dan pembasmian segala bentuk penyimpangan dan rasuah,” katanya.

Berhubung dengan PRU-15, Ahmad Zahid menyeru semua ahli perlu membuat persiapan dengan sebaiknya.

“PRU-14 sudah lebih empat tahun berlalu. Ertinya PRU-15 boleh berlangsung pada bila-bila masa. BN tidak boleh leka. Segala persiapan menghadapi PRU seharusnya sudah mencapai tahap tertinggi.

“Dan saya benar-benar berharap, semua komponen BN harus lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja teknikal pilihan raya. Kita perlu bekerja dan bersedia untuk menang,” gesanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru