Sunday, June 26, 2022

Tepung gandum pula dijangka tidak cukup

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pelan mitigasi komprehensif mesti diadakan agar risiko kewujudan ‘bom jangka’ dapat diminimumkan impaknya sekecil yang mampu dalam usaha menangani kenaikan harga tepung gandum, kata Ketua Penerangan Pas.

Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, polemik bekalan dan harga tepung gandum telah berlarutan sejak lebih setahun lalu tidak ubah seperti barah yang secara perlahan-lahan sedang ke tahap kritikal.

Jelasnya, Situasi ini tidak dapat dielak turut disumbang kesan pandemik Covid-19 dan Perang Rusia-Ukraine

“Terbaharu, India pula mengumumkan larangan eksport gandum; antara sebabnya kesan perubahan iklim.

Sekali gus menyaksikan harga global komoditi itu naik mendadak 60 peratus.

Benar, Malaysia tidak mengimport dari negara itu, tetapi tempias sedunia pasti melanda semua.

Sungguhpun India menyatakan larangan itu hanya bersifat ‘sementara’, ramai sudah berpengalaman menyaksikan masalah seperti ini akan menjangkau satu tempoh sangat lama. Lalu ia menyebabkan masalah yang berantaian dan memberikan akibat buruk pihak-pihak berkeperluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun import Malaysia 80 peratus dari Australia dan bakinya dari Amerika Syarikat, Kanada, Ukraine dan Rusia, siren-siren amaran untuk bekalan terputus sudah semakin jelas menjerit. Apatah lagi pada aspek harga, Bank Dunia meramal ia akan meningkat 40 peratus tahun ini.

Katanyta lagi, hampir semua negara dunia memerlukan gandum sama ada bijirin mahupun tepung dan ia menjadi antara pengambilan makanan terbanyak dan penting selepas ruji asasi di setiap benua.

“Malaysia sendiri, roti dan pastri pembuatan tangan sahaja dianggarkan bernilai lebih RM3 bilion. Itu tidak termasuk yang berada di tahap industri, menunjukkan besar dan ramainya terlibat dengan penggunaannya. Hatta aneka kuih-muih, mi hinggalah variasi ‘colek’perlukan tepung<’ katanya.

Bayangkan katanya, operasi perniagaan berkenaan terpaksa dihentikan kerana dimaklumkan bekalan sedia ada hanya mampu bertahan untuk tiga atau empat bulan sahaja lagi.

Katanya lagi, kekurangan bekalan dijangka berlaku enam bulan dari sekarang, itu pun jika tidak berlaku pembelian panik.

“Kemungkinan terburuk boleh terjadi kesan domino seperti mana ‘pengajaran’ telah kita alami dalam isu bekalan dan harga ayam baru-baru ini. Apa juga bakal terjadi, kerajaan diharap konsisten prihatin menjaga kepentingan rakyat dan penyumbang industri makanan ini,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru