Sunday, June 26, 2022

Seludup bir RM447,401

Secara Rawak

SIBU: Seorang lelaki berusia 55 tahun ditahan pihak berkuasa kerana disyaki menyeludup 1,806 kotak minuman beralkohol (pelbagai jenama bir) bernilai RM447,401 semalam.

Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Dr Che Ghazali Che Awang dalam satu kenyataan semalam berkata, rentetan itu barangan tersebut telah dirampas.

Turut dirampas, jelasnya lagi, ialah sebuah lori 10 tan yang digunakan suspek.

“Bertindak atas maklumat yang diterima, sekitar jam 5 petang sepasukan penguat kuasa daripada pasukan Batalion Ke-10 PGA Sibu telah memberhentikan sebuah lori di tepi jalan berhampiran Jambatan Lanang kerana disyaki membawa minuman beralkohol.

“Setelah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan, pasukan mendapati ia membawa muatan sebanyak 1,806 kotak bir,” kata beliau.

Tambahnya, suspek ketika ditahan gagal menunjukkan bukti cukai ke atas barangan tersebut yang telah dibayar.

Menurut beliau, ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Kami telah merujuk kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sibu untuk tindakan lanjut,” tegas Ghazali.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru