Tuesday, August 16, 2022

Jaga generasi akan datang

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak kini memiliki sepenuhnya empat institusi pengajian tinggi (IPT) dan satu pusat latihan bagi menggalakkan generasi muda menimba ilmu demi kemajuan negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Universiti i-CATS (iCats) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

“Kita harus menggalakkan anakanak menimba ilmu dan untuk ke arah itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil alih aset Universiti Swinburne, mempunyai 100 peratus aset amanah Universiti Curtin, UTS di Sibu dan juga menaik taraf iCats sebagai kolej universiti. Selain itu, kami juga telah mempertingkatkan Centexs sebagai pusat latihan.

“Langkah seterusnya ialah mengisi universiti kita. Jika pendapatan Sarawak meningkat, kita akan memberikan sokongan dari segi biasiswa,” katanya. Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak berkata demikian pada Majlis Samarindok Aidilfitri anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini, malam kelmarin.

Menurutnya yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak, beliau telah meluluskan biasiswa untuk anak-anak Bumiputera khususnya golongan B40 bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Malah berdasarkan makluman daripada Naib Canselor UTS, kemasukan pelajar dari luar bandar telah mencatatkan peningkatan sebanyak tiga kali ganda pada tahun ini disebabkan adanya biasiswa.

“Justeru itu, jika pendapatan negeri terus bertambah, kerajaan akan mengutamakan pemberian biasiswa bukan sahaja kepada anak Bumiputera tetapi juga kepada bukan Bumiputera yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan kerana kita mahu adil serta inklusif,”ujarnya.

Tegasnya, pendidikan adalah kunci untuk membolehkan Sarawak mencapai masa depan yang makmur dan maju sejajar dengan penyertaan dalam ekonomi baharu.

Sambil menyifatkan kejayaan yang dikecapi negeri hari ini adalah hasil keazaman yang tinggi, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak sudah jauh ke hadapan dalam misi menjaga generasi akan datang dengan pelbagai inisiatif berpandangan jauh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru