Friday, August 19, 2022

Dua remaja hilang ditemukan mati di dalam MPV

Secara Rawak

Misteri kehilangan dua remaja akhirnya terjawab apabila polis menemukan mayat mereka dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di ruang parkir bawah tanah sebuah bangunan kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di Kuala Lumpur, pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata dua mayat masing-masing seorang remaja perempuan dan lelaki berusia 19 tahun itu ditemui selepas polis menerima aduan orang awam pada 8.26 malam Ahad lalu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui mayat seorang perempuan di bahagian penumpang hadapan dan mayat seorang lelaki di bahagian penumpang belakang kenderaan terbabit yang dipercayai telah lima hari meninggal dunia.

“Pemeriksaan ke atas tubuh kedua-dua mangsa serta tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Siasatan juga mendapati pemilik asal MPV terbabit telah selesai menjual kenderaan itu kepada ayah mangsa remaja lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Bernama.

Dia berkata pada 23 dan 24 Mei lepas, polis telah menerima laporan mengenai kehilangan dua remaja berkenaan daripada keluarga mereka, masing-masing di Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan selepas gagal menghubungi kedua-dua mangsa.

“Seorang mangsa merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam manakala seorang lagi akan memasuki ke sebuah maktab perguruan.

Hubungan kedua-dua mangsa adalah rakan dan mereka bukanlah penduduk di kondominium terbabit,” katanya.

Muhammad Idzam berkata kedua-dua mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan polis dengan menyalurkan maklumat terus kepada Ketua Polis Balai Salak Selatan, Insp Muhd Arfizan Ab Aziz di talian 019-9198729 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru