Friday, August 19, 2022

Fokus siapkan projek sakit

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini menumpukan kepada usaha menyiapkan projek sakit terutama di kawasan luar bandar, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.

Menurutnya, ia termasuk menyiapkan atau menaik taraf projek bekalan air bersih, elektrik dan kemudahan infrastruktur yang belum berjaya diselesaikan sejak 59 tahun lalu.

“Jika sebelum ini, terdapat banyak projek pembangunan yang dirancang tetapi tiada wang untuk melaksanakannya.

“Tetapi sekarang, kalau tanya kepada penduduk luar bandar, isunya kita ada banyak projek dan wang, tetapi juga banyak projek sakit. Isu-isu yang telah dibangkitkan sejak 59 tahun lalu (sejak pembentukan Malaysia) kebanyakannya mengenai bekalan air, jalan raya dan elektrik.

“Di bawah kerajaan GPS sekarang kita ada wang, kini kita benar-benar bergerak ke arah itu (menyiapkan semua kemudahan asas tersebut) demi kesejahteraan dan pembangunan luar bandar,” katanya.

Dr. Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian ketika menyempurnakan penyalaan lampu sempena sambutan Hari Gawai di Jalan Padungan.

Tambahnya, Sarawak juga merupakan negeri yang mendapat bajet terbesar di Malaysia di samping di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang bijak mencari dana tambahan untuk membangunkan negeri itu.

Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat agar terus bersatu padu dan mengekalkan perpaduan supaya kerajaan GPS dapat terus memperjuangkan hak Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Berbeza dengan pembangkang yang meminta rakyat menderma (semasa mereka berkuasa), GPS tahu di mana untuk mencari duit dan ini terbukti dengan banyak pendapatan masuk yang membolehkan kita meneruskan pembangunan untuk rakyat,” katanya lagi.

Sementara menurut Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng, penyalaan lampu pada tugu kucing berwarna putih tersebut dilakukan setiap tahun sebagai tanda penghormatan kepada kepelbagaian kaum, budaya dan tradisi yang terdapat di Sarawak.

“Ia turut dinyalakan semasa perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan sebagainya,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru