Sunday, June 26, 2022

Wartawan bukan sekadar melapor

Secara Rawak

KALAU profesion lain seperti guru dan jururawat ada hari tertentu untuk mengiktiraf sumbangan mereka, pengamal media dan wartawan  di negara ini kini juga mempunyai hari khusus untuk mereka.  Sesungguhnya, dunia kewartawanan Malaysia yang berusia lebih daripada 200 tahun memang berhak untuk mempunyai Hari Wartawan Nasional sendiri, dan diberi pengiktirafan sewajarnya.

Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 diraikan di Melaka pada hari ini. Acara yang menghimpunkan 500 wartawan dan pengamal media termasuk dari Indonesia itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.  

Perhimpunan terbesar golongan wartawan dan pengamal media tanah air bertemakan ‘Suara Jelata, Aspirasi Negara’ itu  bakal menyaksikan Deklarasi Melaka diumumkan pada majlis kemuncak sambutan berkenaan.

Hawana dianjurkan bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia, selain sebagai platform kepada pengamal media untuk berkongsi pendapat dan meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan industri media di Malaysia.

Tarikh 29 Mei dipilih sebagai mengenang tarikh penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu yang diterbitkan di Singapura pada 1939. 

Dengan adanya Hawana, akan memungkinkan masyarakat lebih memahami peranan wartawan dan dunia kewartawanan. 

Tidak diragui, sejak sekian lama, wartawan di negara ini, termasuk di Sarawak telah memainkan peranan penting  melaporkan berita tentang pelbagai isu dan perkara.  Sebenarnya, wartawan bukan hanya bertindak sebagai perakam zaman, tetapi juga pengkritik zaman. Wartawan pada hakikatnya mewakili suara rakyat.

Wartawan ialah agen perubahan masyarakat dan negara. Melalui kemahiran dan bakat dimiliki, wartawan dapat bertindak untuk mengubah nilai, sikap dan pemikiran masyarakat ke arah yang lebih moden. Mereka dapat mendidik masyarakat, melalui tulisan termasuk  tentang nilai-nilai murni dan positif yang perlu diamalkan.

Wartawan membantu untuk menyebarkan maklumat yang betul dan tepat, sekali gus membentuk tanggapan dan sikap yang betul dalam kalangan masyarakat. Peranan ini semakin penting ketika semua orang seolah-olah dapat menjadi pemberita dengan adanya media sosial. 

Tetapi berbeza daripada wartawan warga, wartawan profesional yang bertugas dengan organisasi media, mengutamakan etika. Mereka mengutamakan ketepatan fakta dan sumber sahih sebelum menerbitkan sesuatu berita. 

Justeru, wartawan  perlu jelas dan faham akan akan agenda mereka. Mereka perlu mengelak daripada tidak terjebak dalam tindakan negatif seperti menyebarkan berita yang belum disahkan benar, mengadu domba atau mencetuskan kacau-bilau dalam masyarakat. 

Sebaliknya, mereka perlu menjadi pengamal media yang profesional, objektif, bertanggungjawab, berintegriti dan berilmu. Jadi, mereka dituntut supaya memiliki kemahiran dari segi bahasa, teknik penulisan, bersikap analitis, menguasai persoalan dengan sebaik mungkin, dan sentiasa sedar akan kesan penulisan yang dihasilkan. 

Sesuai dengan peranannya sebagai estet keempat, media dan wartawan turut memainkan peranan semak dan imbang bagi mengelakkan salah guna kuasa di pihak kerajaan yang memerintah.  

Hakikatnya, kerajaan perlu memberi ruang kepada wartawan dan media untuk menjadi agen pemantau pelaksanaan kuasa kerajaan. Hanya dengan itu, mereka akan mempunyai keberanian untuk menjalankan tugas tersebut dengan sebaik mungkin. 

Jika wartawan dan media mempunyai keikhlasan tanpa agenda dan motif tersembunyi, saya percaya, pihak kerajaan akan menerima teguran dan kritikan atau pendedahan itu dengan hati yang terbuka. Bagi wartawan, mereka perlu sedar bahawa tiada kebebasan mutlak di mana-mana negara waima di Amerika Syarikat  sekalipun. Justeru,  kebebasan yang diberi perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.

Meskipun ada keterbatasannya, sedikit banyak wartawan di negara ini telah berusaha untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab tersebut. 

Wartawan dituntut untuk menyiarkan maklumat secara seimbang dan berguna kepada masyarakat bagi membolehkan mereka memahami isu yang berkembang dalam masyarakat dan negara. Dalam konteks demokrasi, bahan tersebut akan membantu mereka untuk membuat penilaian dan keputusan yang bijaksana. Inilah amanah masyarakat yang perlu dipikul oleh wartawan dengan penuh tanggungjawab. 

Sebelum media dan wartawan dan media dapat menjalankan tugas seperti sepatutnya, maka konsep etika dan akauntabiliti perlu sentiasa diamalkan.  Media yang mempunyai akauntabiliti dan melaporkan berita dengan bersandarkan etika kewartawanan yang digariskan akan dapat meningkatkan keyakinan khalayak. 

Kewartawanan bukannya profesion yang mudah. Sama seperti profesion lain, wartawan dan kewartawanan juga berdepan dengan pelbagai cabaran dan ujian.  Ya, cabarannya semakin besar dalam kalangan wartawan media cetak  dan media arus perdana yang berdepan saingan daripada media dalam talian. ‘Wartawan warga’ ini sering tidak mempedulikan etika dan prinsip kewartawanan tulen yang diamalkan oleh wartawan tradisional.  

Dunia siber menjadi medan untuk menyebarkan berita palsu, mengadu-domba dan mencetuskan konflik dan menyebarkan fitnah.  Wartawan warga tidak menjalani  latihan kewartawanan yang formal. Mereka tidak dikekang oleh mana-mana dasar editorial dan berfungsi tanpa proses editorial yang ketat seperti yang diamalkan oleh kewartawanan tradisional. 

Wartawan dan media tradisional tidak lagi dapat bekerja seperti pada zaman sebelum kemunculan Internet dan portal berita. Mereka perlu lebih kreatif dan mengambil inisiatif yang lebih untuk mengumpul bahan dan menulis berita dan laporan terkini dari perspektif yang berbeza. Jika tidak, bahan editorial yang dihidangkan tidak akan dapat menarik minat pembaca, apatah lagi kini khalayak sasaran mempunyai banyak pilihan. 

Wartawan muda perlu banyak belajar daripada wartawan veteran dan berpengalaman. Ada jurang besar antara kedua-duanya. Sementara wartawan veteran mempunyai pengalaman dan kemahiran tinggi dari segi teknik penulisan dan bahasa, mereka berdepan dengan cabaran dalam menguasai teknologi. Manakala sebahagian wartawan muda pula berdepan kelemahan dari segi kemahiran menulis dan bahasa, terutama dalam bahasa Inggeris.  

Jadi, kedua-duanya perlu saling membantu dan saling melengkapi. Yang penting, mereka harus bersedia untuk terus belajar dan meningkatkan kemahiran masing-masing. Mereka harus melengkapkan diri dengan cabaran dan tuntutan kewartawanan pada era revolusi Industri Keempat atau IR4.0 yang melanda dunia ketika ini.

Belajar sepanjang hayat harus menjadi pegangan wartawan dan pengamal media agar mereka bukan sahaja dapat terus membaiki diri, tetapi juga agar terus relevan.  Sebagai individu yang berada di barisan depan, sudah sewajarnya wartawan berada beberapa langkah di hadapan dari segi ilmu pengetahuan. Mereka perlu membaca secara tekal agar dapat memahami isu dan menguasai isu yang ditulis. 

Tidak mungkin wartawan dapat mengemukakan soalan yang pintar kepada sumber jika mereka tidak mengikuti  pelbagai isu dalam negeri dan negara dengan baik. Mereka hanya akan dapat menulis dengan berkesan dan betul, jika mereka memahami isu berkenaan dengan mendalam.

Kerajaan Sarawak sejak dahulu lagi, mengiktiraf peranan dan sumbangan wartawan dan pengamal media di negeri ini.  Wartawan telah memberi sumbangan besar menjadi mata dan telinga kerajaan, termasuk mendedahkan kepincangan dan kelemahan dalam masyarakat dan pentadbiran negeri. 

Kerajaan dan pemimpin politik tidak harus menganggap pengamal media dan wartawan sebagai musuh, sebaliknya mereka ialah rakan kongsi. Sama seperti pemimpin politik, wartawan profesional dan bertanggungjawab mahu membantu untuk membina negeri dan negara ini. 

Menjadi hasrat dan azam wartawan untuk sama-sama melihat negeri dan negara ini membangun, dipimpin oleh mereka yang berwibawa, berwawasan dan penuh integriti.  

Wartawan  dan kewartawanan profesional akan terus relevan. Kerelevanan mereka banyak bergantung kepada sikap dan profesionalisme mereka. Jelaslah bahawa wartawan dan kewartawanan tidak akan menemui jalan mati selagi manusia memerlukan maklumat sah, sahih dan benar. Wartawan harus terus komited untuk membantu kerajaan dalam membina negara menjadi lebih stabil, maju dan makmur. 

Selamat menyambut Hari Wartawan Nasional kepada semua wartawan dan pengamal media.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru