KUCHING: Rafizi Ramli memenangi 19 daripada 31 bahagian PKR di Sarawak dalam usaha untuk merebut jawatan Timbalan Presiden.
Berdasarkan keputusan yang disiarkan dalam laman web rasmi parti, bekas ahli parlimen Pandan itu meraih 1,150 undi di Sarawak, mengalahkan Datuk Seri Saifuddin Nasution yang mendapat 1,006 undi.
Sarawak merupakan negeri terakhir keputusannya diketahui walaupun pemilihan parti berakhir semalam.
Kedudukan seri berlaku di bahagian Miri dengan kedua-duanya masing-masing memperoleh 41 undi.
Berdasarkan keputusan setakat ini, bekas naib presiden PKR itu kelihatannya mendahului pencabarnya itu dan bakal menduduki kerusi nombor dua parti yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Keseluruhannya, Rafizi telah meraih 69,000 undi manakala Saifuddin 50,000 undi.
Malah, Saifuddin melalui satu kenyataan telah mengucapkan tahniah kepada Rafizi.
Pemerhati menyifatkan kemenangan besar Rafizi dalam pemilihan PKR menunjukkan ahli menuntut perubahan kepimpinan parti.