Friday, August 19, 2022

Nantikan pengumuman untuk Bukit Assek

Secara Rawak

SIBU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka mengumumkan Pelan Rancangan Pembangunan Semula Bukit Assek tidak lama lagi.

Perkara ini didedahkan oleh Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek ketika ditemui media selepas menyempurnakan upacara menggantung papan tanda Pasar Basah Jalan Tiong Hua di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, ia masih belum diketahui kerana pelan tersebut masih lagi pada peringkat pembelajaran, kajian serta penelitian.

“Saya pasti Premier Sarawak akan mengumumkannya dalam tahun ini,” ujar beliau.

Chieng berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga bekas Adun Bukit Assek Irene Chang menerusi kenyataannya dalam akhbar tempatan Jumaat lalu yang mahu pelan tersebut didedahkan secepat mungkin kepada rakyat.

Menurut Chang, rakyat di Bukit Assek masih tertanya-tanya mengenainya dan mahu Chieng mendesak kerajaan supaya mendedahkannya kepada umum.

“Apa yang mahu saya katakan, perkembangan terkininya ketika ini ialah pihak berkenaan masih mempelajari pelan tersebut serta mengkaji dengan penelitian lanjut sebelum mendedahkannya.

“Sesuatu pelan jangka panjang tidak boleh dibuat dalam waktu yang singkat kerana pelan yang baik mempunyai nilai komprehensif, teratur, terancang serta sesuai dengan sesuatu subjek yang hendak diubah suai atau dibangunkan semula.

“Ini kerana kejayaan membangunkan semula Bukit Assek bergantung kepada pelan yang sempurna.

Bukit Assek bukannya kawasan yang kecil, oleh itu ia memerlukan pelan yang menyeluruh untuk meliputi semua.

Banyak aspek yang perlu diambil kira,” tegas beliau.

Rentetan itu, beliau berkata, terdapat beberapa lagi mesyuarat akan diadakan selepas ini untuk memuktamadkan perkara mengenai pelan tersebut sebelum diumumkan.

Beliau menasihati Chang supaya tidak tergesa-gesa dan memaksa kerajaan untuk melakukan perkara tersebut.

“Berilah masa kepada kerajaan untuk tampil dengan pelan yang baik.

Kita berharap semua bersabar dan biarlah kerajaan melalui agensi berkenaan membuat kerja mereka dahulu.

Apabila tiba masanya nanti, mereka akan tetap umumkan.

“Saya tahu rakyat masih menunggu pelan ini didedahkan tetapi kita tidak boleh buat cepat.

Ini soal masa depan Bukit Assek untuk generasi akan datang. Ini juga projek jangka panjang yang memerlukan pelan yang menyeluruh,” tegas Chieng.

Hadir sama ialah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh, Timbalan Pengerusi MPS Kaunselor Bujang Zainuddin Abdul Majid dan Pemangku Setiausaha MPS Yong Ing Chu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru