Sunday, June 26, 2022

Usahawan coklat buatan tangan

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Kompleks SARA Koko Kluster yang telah dinaik taraf berpotensi menjadi pusat tarikan pelancong dalam bidang agropelancongan di Sarawak.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin berkata, peranannya dalam merealisasikan konsep rantaian pemprosesan biji koko ke peringkat penghasilan produk berasaskan coklat penting untuk memastikan produk coklat buatan tangan di Malaysia berkembang.

“Kompleks ini berupaya membuat pemprosesan biji koko kering tempatan di Sarawak bagi kapasiti 50 tan setahun.

“Ia juga dinaik taraf menjadi salah satu pusat tarikan pelancong berasaskan agropelancongan, sekali gus menjadi platform terbaik untuk mempamerkan industri huluan dan hiliran bermula proses penyemaian anak benih sehingga menghasilkan coklat,” katanya dalam sidang media pada Majlis Penutupan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan di sini.

Justeru katanya, masyarakat yang berminat untuk berkecimpung dalam keusahawanan koko disaran mendaftar sebagai ahli koperasi koko bagi menikmati inisiatif disediakan Lembaga Koko Malaysia kepada ahli berdaftar.

Menurutnya, ia merupakan salah satu inisiatif memperkasakan komuniti diketengahkan Lembaga Koko Malaysia selaku penganjur kursus dan peneraju utama sektor ahli komuniti koko terhadap pembangunan usahawan coklat buatan tangan.

“Objektif utama adalah untuk membangunkan usahawan coklat tempatan yang mampu menghasilkan pembuatan coklat.

“Turut disediakan insentif pembelian peralatan, mesin dan khidmat nasihat pembangunan dan pemasaran produk sebagai rangsangan kepada bakal usahawan berminat.

“Program ini juga merupakan salah satu strategi khas pembangunan usahawan coklat dan program promosi koko dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.

Tambah beliau, seramai 20 peserta dari kawasan Parlimen Puncak Borneo telah menyertai kursus tersebut, sekali gus mampu mempengaruhi faktor pendidikan latihan dan sokongan sosial pemerkasaan peranan keusahawanan mengenai potensi industri hiliran koko.

Dedahnya, Sarawak berjaya mengeksport sebanyak 59 tan metrik koko pada tahun lalu ke Semenanjung.

Ujarnya, setakat ini, kementeriannya turut dalam perancangan untuk membuka 100 hektar ladang tanaman koko di Bau bagi memastikan aktiviti tanaman koko terus berkembang di Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru