Sunday, June 26, 2022

Rayu bina jalan raya untuk warga pedalaman Tanjong Manis

Secara Rawak

TANJONG MANIS : Masalah perhubungan penduduk di kawasan pedalaman daerah ini wajar mendapat perhatian serius Kerajaan Sarawak bagi melonjakkan potensi ekonomi di kawasan itu.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, kawasan berkenaan termasuklah Kampung Paloh, Kedang, Berangan dan Stalon.

Ketiadaan kemudahan itu katanya, mengakibatkan kawasan berkenaan seolah-olah tersisih dalam pembangunan.

“Kawasan ini seakan-akan terputus serta tersisih daripada dunia luar akibat ketiadaan jalan penghubung dengan tanah besar.

Ia amat menyulitkan warga setempat untuk melakukan sebarang urusan harian apatah lagi memajukan taraf ekonomi mereka, ” katanya pada Majlis Melanggar Raya Samah Premier Sarawak di Pantai Belawai, hari ini, pada Sabtu.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan perkhidmatan feri dari Kampung Sedik ke Kampung Kedang dan dari Kampung Belawai ke rumah panjang Stalon apabila siapnya Jambatan Muara Lasa dan Jambatan Batang Paloh jika belum ada peruntukan.

Perkhidmatan feri itu katanya, sudah pasti akan memberi kelegaan dan kemudahan kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Kita percaya dan yakin bahawa kerajaan GPS atas kapasiti dan keupayaan yang ada, akan sentiasa mencari cara dan jalan untuk terus membangunkan kawasan Parlimen Tanjung Manis ini.

“Yang pasti, warga kawasan di sini masih dahagakan pembangunan supaya setanding dengan kawasan-kawasan lain di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, daerah Belawai dan Tanjong Manis merupakan sebuah tempat yang penuh dengan pelbagai potensi.

Malah katanya, Belawai memiliki pantai yang sangat bersih dan indah, setanding dengan pantai-pantai di Langkawi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan yang telah membangunkan pusat-pusat rekreasi yang terbukti telah berjaya menarik para pengunjung dari luar dan dalam untuk beristirahat di sini.

“Begitu juga dengan kewujudan medan selera dan medan niaga, semua ini bertujuan untuk menaik taraf sosio ekonomi warga tempatan melalui penghasilan pelbagai produk-produk tempatan,” jelasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru