Sunday, June 26, 2022

Potensi sukan Jombola berkembang di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Potensi sukan Jombola untuk berkembang di Sarawak amat cerah.

Mengambil kira sukan terbabit yang senang dimainkan oleh semua peringkat umur.

Demikian dinyatakan Pengerusi Persatuan Jombola Negeri Sarawak, Kennedy Chua Pai Ugon ketika ditemui pada Majlis Perlancaran Jombola Sarawak 2022 di Dewan Pelbagai Guna, Petra Jaya petang tadi.

Majlis perasmian telah disempurnakan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Kennedy, pihaknya turut merancang agar Sarawak menjadi medan serta mencipta jenama kepada pembuatan alatan sukan, baju dan pembuatan barang dagangan bagi sukan terbabit.

“Pihak kita sedang merancang strategi yang berkesan untuk melaksanakan latihan bagi pembinaan empayar sekali gus melahirkan jurulatih dan pegawai teknikal khusus untuk sukan Jombola,” tambah beliau.

Sambil berharap pendekatan yang akan dilakukan oleh pihaknya kelak berupaya menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri kuasa sukan Jombola tersohor suatu hari kelak.

Menurut beliau, program pertama sedang diteliti untuk dijalankan di Bintulu dengan penganjuran karnival serta klinik dan disusuli ke bandar-bandar utama lainnya selepas itu.

Kerjasama jitu bakal dijalankan bersama Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) bagi mencapai golongan sasaran.

Sukan itu selamat untuk dimaikan oleh semua peringkat umur, bakal dijalankan di bawah program anjuran kerajaan negeri seperti X-Tive Sarawak.

Jombola amat senang dimainkan dengan raket khas dan bola busa samada di gelanggang sepak takraw atau badminton serta mengambil beberapa prinsip permainan bola sepak.

Seramai 30 peserta yang terdiri dari pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kuching menyertai Klinik Jombola yang julung kali diadakan itu.

Sementara itu, Datuk Seri Abdul Karim menegaskan, pihaknya menyokong penuh usaha dilakukan badan induk terbabit.

“Harapan kita untuk melihat sukan ini mampu berkembang pesat sebagai mana sukan lain di negara ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru