Friday, July 1, 2022

Pinjaman dalam bentuk bahan binaan

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 20,000 pintu rumah panjang melibatkan 909 projek di seluruh negeri menerima manfaat daripada Program Pinjaman Kepada Perseorangan Rumah Panjang (PPKPRP) Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) sejak ditubuhkan.

Ketua Eksekutif HDC Mohamad Asman Ahmad memberitahu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM100 juta untuk skim ini menerusi Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.

“PPKPRP adalah skim pinjaman dalam bentuk bahan binaan untuk kerja pengubahsuaian rumah panjang dengan pinjaman maksimum RM30,000 sepintu, tanpa faedah.

“Selain tertakluk kepada kriteria permohonan, rumah tersebut hendaklah sekurangkurangnya 10 pintu dan berdiri di atas sebuah tapak tanah yang sah.

“Keutamaan juga diberi kepada pemohon rumah panjang baharu yang mempunyai tapak rumah serta kemudahan jalan bagi mengelakkan kelewatan dalam menghantar bekalan bahan binaan,” katanya.

Tambahnya, bahan binaan akan dihantar dalam tempoh enam bulan selepas permohonan diluluskan.

Justeru, HDC menggesa penduduk rumah panjang agar memberi kerjasama dalam membayar balik pinjaman bagi memastikan ia dapat disalurkan kepada pemohon yang lain.

Mengulas lanjut, pembayaran boleh dibuat menerusi aplikasi JomPay, Virtual Account, BIMB Merchant dan Kaunter UTC, selain kaunter pembayaran di semua pejabat HDC serta kaunter bergerak berjadual HDC.

Bagi yang berminat, borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman web rasmi HDC https://hdc.sarawak.gov.my/.

Sementara, Tuai Rumah Tengalat Baru Klua Krian Majid Salok, 58, berkata, bahan binaan baharu digunakan seperti batu bata konkrit dan atap spandek adalah lebih kukuh berbanding rumah panjang lama yang menggunakan struktur kayu dan atap zink

“Menerusi skim pinjaman ini, kami membayar ansuran RM100 sebulan tanpa dikenakan caj bunga,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru