Friday, July 1, 2022

Pengakap Sarawak raikan penderma

Secara Rawak

KUCHING, 28 Mei 2022 – Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak telah menganjurkan majlis penghargaan di sebuah hotel untuk meraikan penderma-penderma yang menyumbangkan sekurang-kurangnya seribu ringgit bagi menyokong Program Bakul Makanan Pengakap tahun lepas semasa kemuncak wabak covid-19.

Ketika berucap dalam majlis tersebut, YB Tan Sri William Mawan ak. Ikom, Presiden Majlis Pengakap Sarawak berkata Pertubuhan Pengakap terhutang budi kepada para penderma yang telah memberi peluang kepada Pengakap untuk memainkan peranan mereka untuk memberikan bantuan kepada golongan rakyat yang mata pencarian mereka terjejas teruk akibat pandemik covid-19.

Beliau memuji ahli Majlis Pengakap Sarawak, Pesuruhjaya Pengakap dan pemimpin kerana mengemukakan idea itu yang membolehkan mereka mempunyai alasan yang meyakinkan untuk bergerak dan merentasi daerah untuk mengedarkan bungkusan makanan.

Dengan cara dan peluang untuk mereka bergerak mengikut SOP yang ketat telah melegakan pesuruhjaya dan pemimpin daripada terkurung di rumah masing-masing.

William Mawan berharap kemurahan hati para penderma mendapat ganjaran daripada Yang Maha Esa.

“Sudah tentu kami berharap bantuan seperti ini berlaku sekali sahaja dan wabak ini tidak akan berlarutan,” tambahnya.

Terdahulu, Haji Jumaat bin Ibrahim, naib yang dipertua Majlis Pengakap mengucapkan terima kasih kepada semua ahli majlis, pesuruhjaya dan pemimpin atas sokongan penuh mereka dalam inisiatif yang disifatkan sebagai satu cara untuk pengakap dan penderma membantu mereka yang memerlukan bahan makanan sepanjang tempoh pandemik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru