Saturday, June 25, 2022

Pembukaan sempadan Brunei 1 Jun bakal rancak ekonomi usahawan

Secara Rawak

MIRI: Peniaga-peniaga diingatkan untuk bersedia dengan pembukaan semula sempadan darat dan laut oleh Kerajaan Brunei Darusalam menjelang 1 Jun 2022.

Pengerusi DUBS Cawangan Miri, Encik Mohammad Hafidz Rohani berkata, pembukaan tersebut dijangka akan memperlihatkan kedatangan pengunjung luar khususnya dari negara tersebut masuk ke bahagian Miri.

“Sektor pelancongan, peruncitan dan restoren dijangka akan mendapat manfaat besar dengan pembukaan sempadan ini nanti.

“Selain itu, kadar tukaran mata wang yang tinggi juga akan menyebabkan kuasa beli dari negara jiran meningkat sekali gus menguntungkan usahawan di sini.

Beliau berkata sedemikian semasa memberikan ucapan dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Pra Gawai yang dianjurkan oleh Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak Cawangan Miri di Restoren De Tanjong hari ini.

Tambahnya, para usahawan perlu menyemak semula kos-kos perniagaan supaya keuntungan dapat dikekalkan.

Katanya, ia susulan kenaikan kos beberapa bahan mentah yang dilihat pada masa ini dan ditambah dengan gaji baharu minimum serta kekurangan tenaga kerja yang pastinya akan menaikkan kos pengendalian dan operasi perniagaan.

Dalam majlis yang sama, Pengerusi DUBS Cawangan Miri itu turut menzahirkan terima kasih ke atas kesudian ahli-ahli untuk datang setelah lebih dua tahun tidak dapat beraya sepenuhnya akibat Covid-19.

Tegasnya, komitmen barisan kepimpinan DUBS Cawangan Miri untuk memperkasakan ahli-ahli dengan mengadakan lawatan perkongsian perniagaan sesama ahli dan membawa ahli-ahli mengikuti pameran dagang berkaitan sesuai dengan bidang yang diceburi masing-masing.

Beliau juga menyeru usahawan diluar untuk menjadi ahli DUBS Miri dan bahagian bahagian lain supaya mendapat maklumat tentang program atau peluang yang disediakan pelbagai agensi kerajaan.

Majlis turut dihadiri pengunjung-pengunjung dari kalangan ahli-ahli, rakan niaga, agensi kerajaan, kaunselor, Miri Chinese Chambers of Commerce dan beberapa ahli Yang berhormat tempatan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Piasau Datuk Sebatian Ting dan Adun Pujut Adam Yii.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru