Friday, July 1, 2022

Monyet gigit dan serang bertubi-tubi

Secara Rawak

MATU: Apa yang gigit saya? – itu jeritan ayah ketika kami semua sedang dibuai mimpi pada jam 1 pagi. Zarina Zakaria, 36 ketika dihubungi Suara Sarawak memberitahu, mereka terkejut dengar jeritan ayah meminta tolong dari ruang tamu.

“Ketika itu, apa yang ada di dalam fikiran kita – ayah mungkin tiba-tiba sakit.

Kami keluar bilik dan melihat ayah sedang digigit seekor monyet yang memecah masuk rumah, dan menyerang ayah,” katanya.

Ayahnya Zakaria Rapaee 63 diserang monyet liar di ruang tamu rumah pada awal jam 1 pagi pada  26 Mei lalu.

Sebelum itu, Zarina yang masih mamai menyangkaayahnya sakit lalu bergegas ke ruang tamu depan membuka lampu.

“Pada waktu itu memang lampu di ruang tamu ditutup. Apabila saya dengar ayah menjerit, saya buka lampu dan terkejut ayah digigit sedang seekor monyet liar.

“Ya, ini realiti yang saya lihat. Pada jam 1 pagi, seekor monyet masuk rumah dan sedang menggigit ayah.

“Tidak pernah saya bayangkan haiwan ini menyerang pada waktu begini,” Katanya. Meneruskan cerita, Zarina berkata, ayahnya memang biasa tidur di ruang tamu.

Ketika kejadian, ayahnya sempat menangkap monyet tersebut tetapi digigit di bahagian tangan. “Monyet itu agresif. Saya pukul ketika dia menyerang ayah.

Tetapi masih juga menyerang. “Mahu tidak mahu, saya ambil topi keledar dan pukul kuat-kuathingga jatuh ke bawah rumah.

Tetapi, ia terus agresif dan serang kami lagi,”katanya. Serangan bertubi-tubi itu menyebabkan adik Zarina mengambil kayu… monyet itu lari,” katanya dan sejurus selepas itu, ayahnya segera dikejarkan ke Hospital Daro.

Zarina memberitahu semua ahli keluarganya waktu itu memang panik dan mencari apa-apa sahaja barang berdekatan memukul monyet berkenaan, tambahan ibunya ada berdekatan dengan ayahnya.

Jelas Zarina, ayahnya kini trauma dan kesakitan akibat digigit di bahagian kepala serta tangan masih berbisa, tangan ayahnya juga kembang.

“Hari ini lepas ayah makan ubat antibiotik ayah lena tidur, sakit masih terasa sehingga hari ini,” jelasnya.

Monyet liar berkeliaran di atasbumbung rumah penduduk kampung memang perkara yang biasa dilihat di kampung itu tetapi tidak pernah berlaku serangan ketika penduduk sedang tidur. “Malah monyet sering pecak masuk dapur dan mencuri makanan.

Dalam minggu ini, ramai yang kena serang, termasuk anakkecil yang pergi ke sekolah awal pagi, kanak-kanak yang balik bersembahyang waktu malam turut diserang,” Katanya. Seperti penduduk lain,

Zarina hairan mengapa monyet-monyet ini mula menyerang pada waktu malam, menggigit manusia. “Kami takut keluar rumah kerana monyet ini biasa di atas bumbung sahaja dan bawah rumah.

Apabila melihat monyet ini mengigit dan menyerang manusia, jadi takut “Bila teringat kembali saat itu, memang cepat-cepat saya capai barang di depan mata dan sempat mencapai topi keledar asal dapat pukul monyet itu untuk selamatkan ayah,” katanya.

Berkongsi lanjut kepada Suara Sarawak, Zarina menjelaskan rumah penduduk kampung di kawasan berkenaan kebiasaannya terletak berdekatan dengan pokok rumbia dan berdekatan dengan sungai termasuk ada juga yang berdekatan dengan hutan.

Zarina turut memberitahu pihak Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) turut ke lokasi kejadian untuk memasang perangkap dan menziarahi ayahnya untuk melihat perkembangan terkini keadaan keluarganya Ayahnya yang bekerja sebagai petani itu kini juga kini sedang berehat di rumah  dan mengakui kerap sakit dan sentiasa diberikan ubat sebeleum berehat tidur.

Bagi Zarina, dia dan keluarganya kini perlu sentiasa berjaga-jaga setiap masa agar kejadian tersebut tidak berulang lagi.

“Ayah seorang pesawah kini musim padi sudah habis, ayah balik rumah dan sentiasa berada di rumah.

“Saya berharap kepada pihak berwajib agar mengambil tindakan lanjut dengan memasang perangkap monyet yang lebih banyak.

“Kalau monyet ini tidak agresif tidak apa, tidak menjadi masalah, tetapi apabila sudah menggigit kami semua ketakutan,” katanya lagi.

Keadaa monyet yang biasa berada di atas bumbung rumah penduduk di Kampung Tian Hilir di sini.

Zarina mengakui kehadiran monyet liar di kampungnya itu merupakan suatu perkara biasa bagi penduduk, namun keadaan bertukar kegelisahan buat penduduk lain apabila ada monyet yang berani menyerang manusia sehingga ada yang mengigit.

Zarina berharap dengan tindakan SFC dan tindakan lanjut oleh pihak berwajib kejadian sedemikian tidak lagi akan berulang pada masa akan datang.

TRAUMA… Keadaan Zakaria Rapaee selepas digigit monyet tempoh hari dan kesakitan masih dirasainya sepanjang berehat di rumah bersama keluarga..

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru