Sunday, June 26, 2022

Leĺaki, 23 tahun, cabul kanak-kanak 6 tahun

Secara Rawak

MIRI: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun di berdekatan Tebingan Miri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, suspek, 23, ditangkap sejurus laporan polis dibuat oleh ibu kepada mangsa yang dicabul oleh lelaki tidak dikenali.

“Suspek ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri kira-kira jam 2.50 pagi di kaki lima Old Man Street di sini,” katanya.

Difahamkan kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam pada Jumaat ketika keluarga berkenaan memancing ikan di muara sungai di kawasan tersebut.

Sebelum kejadian, kanak-kanak tersebut merayau-rayau di kawasan berhampiran sementara kedua-dua ibu bapanya dan dua lagi adik-beradiknya sedang memancing.

Ibu kanak-kanak itu menyedari kehilangan anaknya setelah mendengar jeritan yang kuat di kawasan berdekatan.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mereka bergegas ke lokasi dan mendapati anak mereka dipeluk oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Suspek ditahan di Balai Polis Sentral Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru