Friday, July 1, 2022

Sarawak kekal rekod kewangan bersih

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak sekali lagi berjaya menerima laporan bersih bagi penyata kewangan, mengekalkan rekod yang dipegang 19 tahun berturu-tturut, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, hal ini selari dengan langkah Kerajaan Sarawak yang sentiasa memastikan amalan tadbir urus baik untuk mencapai dan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh.

“Malah, Sarawak juga dipuji oleh syarikat antarabangsa dan domestik serta mendapat penarafan (rating) semula yang cemerlang bagi kredit pelaburan gred.

“Standard & Poor’s (S&P) Moody’s, agensi penarafan turut mengesahkan penarafan kelayakan kredit Sarawak, masing-masing pada A3 dan A-,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika persidangan hari ke-8 bagi penggal pertama, di Dun ke-19, di sini,kelmarin.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II turut memberitahu bahawa Agensi Penarafan Malaysia (RAM) pula memberikan Sarawak penarafan kredit AAA.

“Ini sekali lagi bukti jelas tadbir urus Sarawak yang baik dan pengurusan kewangan yang berhemat dalam menguruskan hal ehwal kewangannya,” ujarnya.

Beliau juga sempat memuji kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana keberanian dan visi pandangan jauh beliau mengekalkan hak negeri ke atas tanah dan ruang udara untuk masa depan Sarawak.

Katanya, Rang Undang-undang (RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 dan RUU Hutan (Pindaan) 2022 yang telah diluluskan baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha merekayasa semula (reengineered) hasil kerajaan.

Kanun Tanah memperuntukkan hak Kerajaan Sarawak untuk mengawal selia tanah dan ruang udara termasuk spektrum di atas tanah.

“Melalui RUU ini, semua pihak yang berkepentingan dikehendaki memohon kelulusan dan lesen yang diperlukan.

Justeru caj boleh dikenakan terhadap suntikan gas karbon dioksida ke dalam kawasan pantai atau pesisir kita, di samping mendapat bayaran spektrum.

“Manakala pindaan bagi RUU Hutan akan memberi kuasa kepada Kerajaan Sarawak untuk mengutip royalti, levi, cukai atau berkaitan dengan aktiviti karbon hutan.

“Di bawah RUU ini pula, hanya pihak yang sudah mendapatkan lesen dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti tersebut.

Lesen hanya akan dikeluarkan selepas bayaran lengkap yang diperlukan,” katanya.

Mengulas lanjut, segala usaha ini bukan sahaja mampu mengekalkan hak Sarawak, tetapi membantu menjana aliran pendapatan masa depan untuk Sarawak dalam cara yang tertentu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru