Friday, July 1, 2022

Projek naik taraf jalan di DUN Daro diteruskan

Secara Rawak

SARIKEI: Kerajaan Sarawak meneruskan semula projek naiktaraf jalan sepanjang 8.2 kilometer yang menghubungkan dua buah kampung dan lima buah rumah panjang di kawasan DUN Daro dengan jalan utama Tanjong Manis –Sibu.

ADUN Daro, Safiee Ahmad berkata, projek berimpak tinggi itu melibatkan laluan yang keseluruhannya hampir 20 kilometer di

Sungai Illas dan Kampung Sebena, Sungai Mabil dan  Muara Stubah di Meradong.

Pelaksanaan projek itu katanya, bermula tiga tahun lalu namun tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

“Penangguhan sementara itu menyebabkan projek ini sedikit tergendala. Saya gembira selepas mendengar penjelasan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, pelaksanaan projek ini diteruskan semula dalam ucapan penggulungan di DUN baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika  mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada majlis penyerahan cek pampasan tanah bagi projek naiktaraf Jalan Bawang assan, Tanjung Manis, Sungai Illas, Kampung Sebena (Fasa II) daerah Meradong di sini, semalam.

Pampasan berjumlah RM 333, 837.30) itu melibatkan seramai 49 orang lagi penerima yang sebahagiannya telahpun diserahkan sebelum ini.

“Dengan ada projek ini dapat menyelesaikan isu-isu di lapangan kerana sebelum ini mungkin ada dalam kalangan mereka merasakan tidak menerima pampasan,sebenarnya semua yang layak, kerajaan akan bayar mereka dengan pampasan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, jalan baharu yang disediakan itu bakal memacu pembangunan di kawasan tersebut khususnya sektor pertanian.

Dengan adanya kemudahan itu katanya, kawasan kampung dan rumah panjang yang berdekatan akan lebih mudah dihubungi selain menyenangkan kerajaan untuk menyalurkan pembangunan yang diperlukan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru