Friday, August 12, 2022

Jangan peduli mesej, panggilan sumber tak dikenali

Secara Rawak

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri menegaskan agar masyarakat jangan mengendahkan panggilan atau mesej daripada sumber tidak dikenali bagi mengelak berlakunya jenayah siber.

Jelas beliau, melayan kerana sifat ingin tahu akibat dijanjikan hadiah lumayan atau percuma menyebabkan mangsa sanggup menyerahkan butiran peribadi kepada individu tidak dikenali.

“Tiada sesuatu perkara yang datang secara percuma jadi tidak perlu melayan sekiranya kita tidak terlibat dalam aktiviti demikian.

“Seperti contoh dalam aplikasi whatsapp kita menerima mesej tahniah memenangi hadiah pertandingan sesuatu produk sedangkan kita tidak pernah membeli mahupun minum produk tersebut.

“Tiada sesuatu benda yang datang percuma diberikan menerusi mesej menang RM1,000, RM2,000, motosikal sedangkan kita tidak terlibat dalam pertandingan itu,” katanya ketika berucap dalam Majlis Kepolisan Komuniti Bersama Masyarakat Taman Malihah di Dewan SerbagunaTaman Malihah, di sini, hari ini.

Jelasnya, trend jenayah siber kini dilihat menyasarkan lebih seribu pengguna telefon bimbit sehari.

Dedahnya, jenayah siber tidak seperti jenayah pecah rumah kerana suspek bagi penjenayah ini disyaki bertapak di luar negara berikutan penyebaran kes adalah menerusi media sosial.

Justeru katanya, orang ramai perlu bersama-sama membanteras jenayah terbabit dengan memberi nasihat kepada jiran, sahabat dan kenalan rapat.

“Beritahu mereka, jangan melayan dan tidak perlu melayan apa-apa mesej yang tidak kena-mengena dengan urusan kita.

“Justeru, masyarakat diingatkan untuk tidak terpedaya dengan menyalurkan maklumat akaun bank, TAC, serta butir peribadi atau memindahkan wang kepada orang yang tidak dikenali,” ujarnya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti SAC wong Ing Fung, Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru