Sunday, June 26, 2022

1,031,712 hektar tanah NCR berjaya diukur

Secara Rawak

KUCHING: Melalui Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) Inisiatif Baharu yang dilaksanakan sejak 2010, sekitar 1,031,712 hektar atau 2,549,360 ekar berjaya diukur secara perimeter.

Manakala sekitar seluas 794,503 hektar atau 1,963,216 ekar daripadanya telahpun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (sehingga 30 April 2022).

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata dengan inisiatif berkenaan ia dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan efektif, sejak proses pengukuran dan pengeluaran surat hakmilik tanah NCR telah dilaksanakan sejak 1960-an khususnya melalui Operasi Penyelesaian selaras dengan Bahagian V Kanun Tanah Negeri Bab 81.

“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah mereka dan pewartaan bagi baki kawasan yang telah diukur secara perimeter akan dilaksanakan secara berterusan.

“Sejak tahun 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu bagi kawasan-kawasan yang telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dun Sarawak Ke-19, di sini, pada Khamis.

Ujarnya sehingga 30 April 2022, sebanyak 54,072 lot individu berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 66,808 hektar atau 165,082 ekar yang akan dikeluarkan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

“Bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini penuntut tanah hendak hadir semasa pengukuran di lapangan, menandakan sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar.

“Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan kelangsungan program ini dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan di samping dana yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan,” jelasnya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru