Friday, August 12, 2022

Sarawak perlu bina 6,000 km jalan baharu

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak perlu membina kira-kira 6,000 kilometer (km) jalan baharu dan menaik taraf 4,200 km jalan substandard sedia ada bagi menghubungkan semua penempatan yang berselerak di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara tersebut diperoleh hasil daripada bengkel untuk Kesalinghubungan Jalan Luar Bandar Sarawak yang dianjurkan Mac lalu bagi merangka strategi untuk mencapai 100 peratus ketersambungan perhubungan.

“Kesalinghubungan jalan raya adalah amat penting, kerana ia menyediakan peluang baharu dan membuka potensi ekonomi. Sebanyak 30,650km jalan negeri dan 1,591km jalan persekutuan telah didaftarkan di Sarawak, tidak termasuk jalan milik persendirian, seperti jalan ladang dan balak,” katanya.

Uggah berkata demikian dalam ucapan penggulungannya Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada Persidangan Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19, di sini, pada Khamis.

Sementara mengulas mengenai Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo 50, katanya Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan tersebut untuk memulakan pembinaan pada tahun 2023.

“SSLR Fasa 1 dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng, Lawas (77km) kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku pertama 2026.

“Manakala pembinaan SSLR Fasa 2 akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari Mulu ke Limbang (116km); dari Long Luping ke Ba’kelalan (75km); dan dari Limbang ke Long Merarap (66km).

“Sementara Lebuhraya Trans Bornea juga dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Seksyen Miri: dari Kuala Baram ke Sungai Tujuh (4.9km); Seksyen Limbang: dari ICQS Tedungan ke ICQS Pandaruan (57.3km); dan Seksyen Lawas: dari bandar Lawas ke ICQS Merapok (34.1km),” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru