Friday, August 19, 2022

Sarawak kutip lebih RM8 bilion daripada cukai minyak, gas

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak mengutip RM8.52 bilion hasil kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) daripada penghasilan minyak dan gas sekali gus menjadi menjadi penyumbang utama kepada pendapatan kerajaan negeri.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, SST itu dikutip daripada minyak mentah dan gas asli cecair sejak 1 Januari 2019.

“Jumlah itu adalah daripada RM11.01 bilion iaitu keseluruhan kutipan SST setakat ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Khamis.

Jelasnya lagi, Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang ditandatangani PETRONAS dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) pada 7 Disember 2020 telah memberi hak kepada syarikat di bawah kerajaan negeri itu untuk mengawal selia dan memantau minyak, perlombongan dan penerokaan di semua kawasan daratan Sarawak.

Katanya, PETROS turut melakar beberapa pencapaian membanggakan termasuk kontrak 29 tahun untuk Blok Pesisir Sarawak SK433, Adong Kechil di kawasan Miri-Marudi.

“Selain itu, ia juga memiliki kepentingan dalam keempat-empat Blok Eksplorasi Baharu di luar pesisir Sarawak dan volum sumber gas asli 1,200 mmscf/d untuk memacu pertumbuhan industri hiliran, penjanaan kuasa dan hab petrokimia di Bintulu,”katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru