Friday, August 19, 2022

Pengedar dadah mewah di Padawan berdepan hukuman mati

Secara Rawak

PADAWAN: Seorang pengedar dadah lelaki berusia 32 tahun berdepan hukuman mati selepas ditahan bersama dadah pelbagai jenis bernilai RM14,014 di sekitar kawasan Sungai Maong, pada Isnin (23 Mei).

Suspek berjaya dicekup di lokasi kejadian hasil operasi serbuan dilakukan oleh oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak bermula jam 6 hingga 10 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek kini dalam tahanan reman selama tujuh hari sehingga 30 Mei ini bagi siasatan lanjutan kes.

“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM14,014 merangkumi 105 biji pil ekstasi bernilai RM1,575, tiga paket jus ekstasi bernilai RM1,950, 69.89 gram ketamin bernilai RM6,989 dan 14 botol cecair campuran ganja bernilai RM3,500.

“Modus operandi suspek adalah mendapatkan bekalan daripada seorang lelaki tempatan di daerah Kuching dan bekalan tersebut akan dibungkua semula untuk dijual kepada penagih-penagih dadah di sekitar Batu Kawah dan Padawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, hasil tangkapan polis turut menyita wang tunai berjumlah RM20,000 dan seutas rantai emas dianggarkan bernilai RM14,270 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

Dedahnya, hasil saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif Tetrahydrocannabinol (THC).

Tegasnya, kes disiasat di bawah Sekesyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru