Friday, August 19, 2022

Lukisan mural dapat menonjolkan keindahan Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Anjuran program mural bertemakan Sarawak diyakini dapat menonjolkan keindahan kepelbagaian etnik yang ada di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program sedemikian juga penting agar warisan budaya yang tidak dilupakan.

“Mural tersebut mempunyai lima tonggak pelancongan Sarawak melibatkan Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan dan Perayaan (CANFF).

“Ia merupakan hasil kerja pelajar dari pelbagai universiti serta membabitkan bakat daripada Persatuan Orang Pekak Sarawak yang turut menyumbang kepada penyiapan projek tersebut.

“Justeru, acara ini bukan sahaja dapat meraikan keunikan Sarawak, tetapi juga sebagai inisiatif bagi mengumpul dana untuk membantu persatuan tersebut melalui sumbangan sukarela oleh pengunjung ke pameran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Mural Maze Terbesar Bertemakan Sarawak 2022 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Tambahnya, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA Cawangan Samarahan, Swinburne Universiti Sarawak, UCSI University Kuching dan the Universiti Teknologi Sarawak berjaya menyiapkan projek tersebut dalam tempoh lima bulan.

Melalui usaha serta kerjasama mereka, pameran tersebut bersedia untuk mencipta rekod baharu dalam Buku Rekod Malaysia dengan mempamerkan lukisan mural sebesar
1370 meter persegi.

“Ia pasti akan menjadi satu saat untuk kita rakyat Sarawak banggakan kelak,” katanya.

Mengulas lanjut, mural telah bertahun-tahun menjadi sebahagian daripada landskap budaya negeri ini.

“Oleh itu, kementerian akan terus memberi sokongan terhadap aktiviti seumpamanya untuk membantu komuniti artis tempatan demi kepentingan mereka.

“Orang ramai dijemput hadir untuk merasakan sendiri pengalaman yang dikongsi melalui mural tersebut yang bermula hari ini sehingga 8 Jun,” ujarnya.

TAMAT

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru