Sunday, June 26, 2022

Daya Pengeluaran Pelabuhan Sarawak catat 7.48 juta empat bulan pertama 2022

Secara Rawak

KUCHING: Pihak Berkuasa Pelabuhan Negeri Sarawak merekodkan sebanyak 7.48 juta tan daya pengeluaran bermula Januari hingga 30 April 2022.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah terbabit menunjukkan peningkatan 8.6 peratus bersamaan 0.59 juta tan berbanding tempoh sama iaitu sebanyak 6.89 juta tan pada 2021.

“Lembaga Pelabuhan Kuching mengendalikan 3.20 juta tan, peningkatan sebanyak 8.1 peratus bersamaan 0.24 juta tan berbanding dengan 2.96 juta tan untuk tempoh yang sama pada 2021.

“Lembaga Pelabuhan Rajang mencatat 0.48 juta tan, meningkat 4.3 peratus bersamaan 0.02 juta tan daripada 0.46 juta tan.

“Lembaga Pelabuhan Samalaju mencatat sejumlah 2.17 juta tan, meningkat 22.6 peratus (0.4 juta tan) daripada 1.77 juta tan diikuti Lembaga Pelabuhan Tanjung Manis mencatatkan jumlah daya pengeluaran kira-kira 0.621 juta tan metrik pada tahun 2022, peningkatan yang sedikit berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021.

“Manakala Lembaga Pelabuhan Miri bagaimanapun mencatat penurunan sebanyak 4.7 peratus (0.05 juta tan) dengan jumlah daya pengeluaran sebanyak 1.01 juta tan metrik berbanding 1.06 juta tan dalam tempoh sama pada 2021,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak ke-19, hari ini, pada Khamis

Jelasnya, penurunan daya pengeluadan di Miri disebabkan oleh pengurangan eksport kayu balak, jentera berat, bahan binaan, perabot dan kayu gergaji ke negara jiran.

Sementara itu katanya, Pihak Berkuasa Pelabuhan Negeri Sarawak masih mencatat peningkatan pada tahun 2021 dengan daya pengeluaran sebanyak 20.6 pada tahun 2021, peningkatan kira-kira 4.6 peratus bersamaan 0.9 juta tan berbanding 19.7 juta tan pada tahun 2020.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan Pelabuhan Kuching kini sedang memperoleh kren baharu untuk meningkatkan prestasi pengendalian kontena dan produktivitinya di Terminal Senari dengan peruntukan yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak berjumlah RM70 juta.

Tambahnya, Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) juga dalam proses pemasangan di Pelabuhan Kuching untuk meningkatkan keselamatan pelayaran yang membolehkan pihak berkuasa mengesan dan memantau pergerakan kapal dalam liputan radarnya (kawasan pelabuhan) di sepanjang Sungai Sarawak dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2023.

Tegasnya, Kerajaan Sarawak komited terhadap peranannya dalam menyokong pembangunan pelabuhan dengan sentiasa meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan dalam memenuhi permintaan global dan domestik.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru