Friday, July 1, 2022

Sarawak terokai peluang manfaatkan pembukaan ibu kota Indonesia ke Kalimantan

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak perlu memposisikan dirinya dan membangunkan kelebihan daya saingnya bagi membolehkannya mendapat manfaat daripada pemindahan ibu kota Indonesia, Nusantara ke Kalimantan.

Menurut Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Sarawak berpeluang mendapat manfaat daripada pemindahan itu kerana ia berkongsi sempadan yang panjang, dan telah menjalin kerjasama bilateral dengan Indonesia.

Jelasnya, kebolehcapaian akan ditambah baik dengan membuka lebih banyak pintu keluar dan masuk, akses jalan raya dan kemudahan kastam dan imigresen.

“Terdapat rancangan untuk menaik taraf pintu keluar dan masuk di wilayah Utara dan Tengah Sarawak menjadi pintu masuk antarabangsa bagi memudahkan pergerakan dan meningkatkan perniagaan sempadan,” jelasnya dalam ucapan di DUN, pada hari terakhir persidangan, hari ini.

“Namun, keselamatan sempadan mesti menjadi keutamaan. Justeru, kita bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengukuhkan kawalan sempadan,” katanya lagi.

“Menghidupkan semula perniagaan rentas sempadan dengan Indonesia terutamanya dengan Kalimantan Barat adalah keutamaan kita. Kita perlu mengembangkan sumber kita dalam melengkapi Indonesia dalam situasi menang-menang,” jelasnya.

Katanya, bagi melancarkan inisiatif dan kerjasama dengan Indonesia, Kerajaan Sarawak kini menggerakkan inisiatifnya untuk menubuhkan Pejabat Perniagaan dan Pelancongan di Pontianak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru