Tuesday, August 16, 2022

Raspberry Pi peralatan alternatif pembelajaran

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak membeli 9,436 set komputer Raspberry Pi sebelum diedarkan bagi kegunaan sebanyak 1,265 sekolah rendah dan 30 Pejabat Daerah Pendidikan (PPD) oleh Sarawak Information Systems Sdn. Bhd.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn menjelaskan, Raspberry Pi bukan menggantikan komputer atau komputer riba di sekolah.

Sebaliknya katanya, ia merupakan alat alternatif yang berdaya maju untuk aplikasi produktiviti ringan, dan mampu melakukan perkara yang boleh dilakukan oleh komputer biasa.

“Bagaimanapun, kita juga melihat fungsi produktiviti komputer biasa ini di luar pejabat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dun di sini, semalam.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan berhasrat menjadikan Raspberry Pi sebagai platform pembelajaran untuk pengkomputeran, pengekodan dan untuk membantu membangunkan kemahiran analisis dan penyelesaian masalah pengguna.

“Ia juga berfungsi sebagai ‘Internet dalam kotak’ di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai sambungan Internet. “Dari segi Sistem Pengendalian (OS) dan perisian, Raspberry Pi yang dibekalkan, ia telah disediakan pramuat dengan semua OS dan kandungan yang diperlukan selain menjalankan Sistem Pengoperasian Windows,” katanya.

Beliau memberi jaminan kementeriannya telah, dan akan terus melengkapkan penyediaan Raspberry Pi dengan latihan komprehensif untuk guru dan pelajar.

Sagah berkata, beliau sedar ada individu yang ragu-ragu dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk menerapkan penggunaan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan pelajar sekolah, dengan menggunakan komputer Raspberry Pi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru