KUCHING: Sarawak optimis dapat menerima 1.2 juta pelancong yang dapat menjana RM3.2 bilion hasil perbelanjaan mereka pada 2022.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, jumlah pelancong ke Sarawak merosot 74 peratus daripada 4.66 juta pada 2019 kepada 1.2 juta pada 2020 akibat pandemik Covid -19.
“Hasil perbelanjaan pelancongan juga menurun 75 peratus berbanding 2019 iaitu hanya RM2.88 bilion pada 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementerian itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Pada 2021, jelas Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah lagi, jumlah kedatangan pelancong merosot sebanyak 80 peratus kepada 235,245 berbanding tempoh sama pada 2020.
Namun, jumlah pelancong ke Sarawak meningkat 574.35 peratus dari Januari hingga April 2022.
Jelasnya, jumlah keseluruhan pelancong yang datang ialah 310,064 orang berbanding tempoh sama pada 2021.
“Walaupun sektor pelancongan antarabangsa bangkit semula secara perlahan-lahan, pelancongan domestik akan terus memacu pemulihan industri itu di peringkat negeri,” katanya.