Sunday, June 26, 2022

Langkah tambah baik pengurusan air, kumbahan di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Penganjuran Persidangan dan Pameran Air dan Sisa Kumbahan Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2022 adalah selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk membangun sekali gus menambah baik pengurusan air serta air kumbahan di negeri ini, termasuk Borneo.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, beliau gembira BIWWEC 2022 dapat dianjurkan semula tahun ini, kerana ia menyediakan platform untuk isu penting dan penyelesaian inovatif juga boleh dibincang serta dikongsikan bersama.

“Kerajaan Sarawak telah menetapkan matlamat untuk mempunyai 100 peratus liputan air bersih untuk semua rakyat Sarawak.  Malah, data terkini menunjukkan bahawa kita hanya kekurangan 16.4 peratus bagi mencapai liputan penuh bekalan air di seluruh negeri ini.

“Ini memandangkan bahawa keseluruhan liputan bekalan air kini pada 83.6 peratus, dengan 99 peratus liputan untuk kawasan bandar dan 66.9 peratus liputan bagi kawasan luar bandar,” katanya pada sidang media sempena penganjuran BIWWEC 2022, di Bilik Jawatankuasa No.1, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak kini sedang melaksanakan pelbagai program bagi mencapai matlamat ini termasuk Program Grid Air Negeri dan Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas).

“Manakala, bagi air kumbahan Kerajaan Persekutuan sedang melaksanakan beberapa sistem pengurusan air sisa berpusat untuk bandar dan bandar utama di Sarawak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan acara seperti BIWWEC 2022 ini sangat diperlukan kerana ia berfungsi menyediakan platform yang membina dan berfaedah untuk membincangkan serta melahirkan inovasi termasuk teknologi baharu, daripada kedua-dua industri tempatan dan antarabangsa.

BIWWEC 2022 akan kembali diadakan dengan tema ‘Kelestarian dan Ketahanan Melalui Teknologi Pintar dan Inovasi’ akan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula pada 17 hingga 19 Oktober 2022 di Hotel Imperial Kuching.

Acara itu juga disasarkan untuk menarik 300 perwakilan dengan pelbagai aktiviti dan pameran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru