Saturday, June 25, 2022

Klinik Kesihatan Siburan, Klinik Kesihatan Bandaraya Miri siap tahun ini

Secara Rawak

KUCHING: Klinik Kesihatan Siburan (Jenis 3) dan Klinik Kesihatan Bandaraya Miri (Jenis 2) dijadualkan siap tahun ini, kata Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata bagi Klinik Kesihatan Siburan, kemajuan fizikalnya setakat 25 April tahun ini ialah 88 peratus.

“Kos siling Klinik Kesihatan Siburan ialah RM40 juta.

“Ia blok baru dan juga dilengkapi dengan dua unit kuarters kelas D, lapan unit kuarters kelas F dan 16 unit kuarters kelas G,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Manakala, Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kawah berkata perkembangan fizikal bagi Klinik Kesihatan Bandaraya Miri ialah 86 peratus.

“Kos projek untuk Klinik Kesihatan Bandaraya Miri ialah RM35 juta, melibatkan pembinaan blok klinik kesihatan baharu,” katanya.

Sementara bagi projek Hospital Petra Jaya, beliau berkata setakat 25 April tahun ini, kemajuan fizikalnya adalah 44 peratus dan dijadual siap pada Mac 2024.

Bagi pembinaan blok tambahan Hospital Miri pula, Sim berkata kemajuan fizikalnya kini 19 peratus dan dijadual siap pada Disember 2023.

Beliau menambah bagi Hospital Lawas yang baharu, kemajuan fizikal projek itu adalah 12 peratus apabila ia sedikit lewat daripada jadual sebanyak 5 peratus, dengan dijangka siap pada Februari 2024.

Sim berkata Klinik Kesihatan Simpang Bukut, Mukah (Jenis 6) telah mula beroperasi pada 1 Mac lalu manakala Klinik Kesihatan Nanga Kemalih, Sarikei (Jenis 6) telah siap secara fizikal dan dijangka akan beroperasi pada Julai 2022.

Selain itu, katanya Klinik Kesihatan Tabuan Jaya (Jenis 2) dengan kos projek RM40 juta, telah memulakan pembinaan pada 8 Disember 2021 melibatkan pembinaan blok baharu.

Dalam pada itu, Sim berkata sehingga 30 April tahun ini, Jabatan Kesihatan Sarawak telah menerima dana operasi berjumlah RM2.13 bilion dan RM311.39 juta untuk dana pembangunan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk perbelanjaan operasi, pembangunan modal insan, kerja naik taraf kecil, perkhidmatan sokongan hospital dan klinik serta perolehan peralatan perubatan.

“Sehingga kini, terdapat 26,208 kakitangan penjagaan kesihatan kerajaan berkhidmat di Sarawak,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru