Saturday, June 25, 2022

Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak bincang isu kenaikan kos bulan depan

Secara Rawak

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak menegaskan bahawa pihaknya memang sedang meneliti masalah kenaikan kos pengangkutan serta logistik bersama industri berkepentingan kerana isu tersebut berlaku di seluruh dunia.

Menterinya Datuk Seri Lee Kim Shin dalam menepis dakwaan Adun Padungan Chong Chieng Jen berkata, kementeriannya melalui platform khas iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak dijadualkan membincangkan masalah tersebut pada Jun ini.

“Beginilah cara kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), iaitu melibatkan pihak berkepentingan terlebih dahulu untuk mengetahui isu-isu sebenar dan bukannya membuat kenyataan untuk mendapatkan publisiti murahan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Tegasnya, adalah penting untuk memahami dengan betul bahawa isu kenaikan kos pengangkutan dan logistik bukan hanya terhad kepada Malaysia atau Sarawak tetapi seluruh dunia.

Tambahnya, memandangkan isu itu tidak terhad kepada Sarawak sahaja, Chong sebagai Ahli Parlimen Stampin sepatutnya membawa isu itu dalam persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini.

Terdahulu pada Selasa, Chong menggesa kementerian tersebut cepat bertindak dalam membantu syarikat berkaitan menangani kos logistik yang semakin meningkat.
Menurutnya, beliau enggan menerima alasan ‘kementerian masih mengkaji’ kerana perkara tersebut sudah berlarutan dan harus ditangani secepat mungkin.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru