Sunday, June 26, 2022

Inspirasi generasi pemimpin baharu

Secara Rawak

KUCHING: Belia di Dewan Undangan Negeri (Dun) Satok menunggu penubuhan sayap Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dicadangkan bagi memenuhi keperluan mereka yang berumur 18 hingga 28 tahun.

Bercakap kepada Suara Sarawak di kompleks Dun kelmarin, belia di kawasan ini menyatakan, mereka sedang menunggu untuk sayap ini dibentuk supaya boleh diserap sebagai ahli, sekali gus menyuarakan suara mereka berkaitan dengan golongan muda.

Dengan penubuhan sayap baharu itu, mereka berkata ia akan menjadi platform untuk mereka mewakili suara golongan muda.

Menurut salah seorang pelajar Program Perakaunan Unimas Ahmad Daniel Ahmad Hata, 20, dia berharap sayap Pemuda PBB baharu akan menjadi sayap inklusif generasi akan datang yang menyokong dan membawa pendedahan kepada belia dunia politik dan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin baharu.

“Daripada pengalaman saya menyaksikan persidangan Dun hari ini (kelmarin), ia telah memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan perjuangan kita dalam dunia politik khususnya bagi Dun Satok.

“Sehubungan itu, saya berharap banyak program yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri yang memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat malah khususnya golongan muda supaya kita didedahkan dengan dunia politik di Sarawak,” katanya.

Manakala, pelajar Program Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Unimas Mohammad Zulhilmi Abang Mohammad Reduan 20, berkata kebanyakan belia mempunyai pemikiran yang berbeza dengan ahli politik yang lebih ‘senior’.

Justeru katanya, dengan ada ahli baharu ini, suara golongan muda melalui sayap baharu ini kelak akan menarik minat golongan muda untuk berpolitik.

“Mengenai pengalaman saya melihat sidang Dun, saya berasa kagum melihat profesionalisme yang dibawa oleh wakil rakyat,” katanya lagi.

Bagi Asri Hazwan Harun, 20, lulusan Program A Level dari German-Malaysian Institute, dia berharap sayap Pemuda PBB yang baharu, PBB 18-28 akan menjadi platform baharu yang mana golongan belia di Sarawak diberi peluang untuk menyuarakan fikiran mereka.

“Saya juga percaya PBB 18-28 akan memainkan peranan utama dalam membuat keputusan untuk menentukan hala tuju negeri ini.

“Saya berharap Kerajaan Negeri mengadakan rancangan progresif untuk penglibatan anak muda kita dalam politik negeri kita kerana menjadi impian kami untuk mana-mana parti politik untuk melebarkan sayap politik di mana mereka memberi kami peluang,” jelasnya.

Irdina Fikriyah Rajak, 20, pelajar Program Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Unimas pula berharap sayap Pemuda PBB yang baharu dapat menyatukan belia dan generasi tua bersama-sama.

“Saya berharap kerajaan akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk melibatkan diri dalam politik.

Saya juga berharap mereka akan diberi peluang untuk menunjukkan potensi mereka,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru