Sunday, June 26, 2022

Hari Bomba Sedunia 2022: Sokong tugas bomba

Secara Rawak

KUCHING: Bomba sering dikaitkan dengan isu kebakaran semata-mata, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman.

Menurutnya, mereka sedang berusaha untuk mengubah persepsi tersebut dalam kalangan masyarakat. “Persepsi terhadap bomba selalunya ialah apabila berlaku kebakaran, barulah orang ramai akan mengingati kita.

“Dengan ini timbul tanggapan salah bahawa bomba tidak ada kaitan jika tidak terdapat kecemasan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak kelmarin, sempena sambutan Hari Bomba Sedunia 2022.

Sehubungan itu, bomba juga berdepan dengan cabaran sering dipersalahkan sekiranya berlaku kebakaran walaupun puncanya bukan daripada mereka.

“Justeru, kami berusaha untuk mengubah tanggapan salah ini dengan mendidik orang ramai dan berkawan dengan mereka.

“Saya secara peribadi percaya bahawa melalui pendidikan dan apabila orang ramai mempunyai pengetahuan, mereka akan lebih memahami, sekali gus dapat memberi sokongan,” ujarnya.

Khirudin memberitahu beliau mula menyertai JBPM sejak 22 Mei 1989 dan pada 22 Mei lepas, genap 33 tahun beliau dalam perkhidmatan tersebut.

“Sepanjang tempoh itu, yang memberi kesan adalah persepsi masyarakat terhadap bomba,” tegasnya.

Dalam pada itu, Khirudin juga memaklumkan bahawa beliau sentiasa mengingatkan anggota dan pegawai bomba untuk sentiasa bercakap benar tanpa mengira dengan siapa kerana maklumat boleh diakses dengan mudah.

Sambutan Hari Bomba Sedunia 2022 disambut dengan tema “Bomba Frontliners Keluarga Malaysia”.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru