Saturday, June 25, 2022

10 kawasan di Sarawak dipilih untuk pelaksanaan program pembasmian kemiskinan tegar

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 10 kawasan di Sarawak dipilih untuk pelaksanaan Fasa 1 Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang dijadualkan bermula penghujung Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tumpuan akan terus diberikan kepada Sarawak kerana ia merupakan negeri yang merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi dalam negara pada 2019 iaitu 9 peratus, berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.

“Program BMTKM menggunakan pendekatan yang melibatkan penyertaan akar umbi dan golongan sasar dalam merangka program, iaitu dengan penyelesaian kemiskinan secara bersasar dan berbeza bagi setiap lokaliti mengikut keperluan di sesebuah kawasan.

“Program ini juga merupakan pelengkap kepada program pembasmian kemiskinan sedia ada yang sedang dilaksanakan oleh pelbagai agensi pada ketika ini,” katanya sempena lawatan bagi permohonan BMTKM di Daerah Sebuyau, di sini kelmarin.

Mustapa menambah selain melibatkan agensi-agensi kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan daerah, program BMTKM juga melibatkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak seperti universiti awam, pihak swasta, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi berasaskan komuniti, pemimpin setempat dan lain-lain.

Katanya ia termasuk penglibatan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) yang turut memainkan peranan penting sebagai penyelaras di peringkat negeri bagi program BMTKM di Sarawak.

“Berbeza dengan program basmi kemiskinan tegar sebelumnya, BMTKM juga mempunyai dasar pemisah yang jelas selepas ia berlangsung selama dua hingga tiga tahun,” katanya lagi.

Antara lokaliti yang telah dikenal pasti bagi pelaksanaan Fasa 1 BMTKM di Sarawak termasuklah, Gedong, Kampung Seberang Sebuyau, Sebuyau, Kampung Bakong, Lingga, Long Kajang, Belaga, Kampung Spaoh, Betong, Baram / Ulu Tinjar, Pakan, Lawas, Daro dan Telang Usan.

Matlamat program ini adalah untuk mencapai kemiskinan tegar sifar pada 2025, sepertimana yang telah ditetapkan pada Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru