Sunday, June 26, 2022

Zahid: Jangan bersikap agresif ketika memandu

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pengguna jalan raya terutama pemandu harus berhati-hati dan saling bertoleransi antara satu sama lain.

Menurut beliau,  sikap tersebut adalah penting bagi mengekang perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Kesabaran, hormat menghormati dan bertolak ansur antara aspek terpenting ketika menggunakan jalan raya.

“Saya percaya tiada sebab untuk mana-mana pemilik kenderaan berkelakuan agresif apabila berlaku salah faham di atas jalan raya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga meluahkan kebimbangan beliau dengan kekerapan video tular yang menyaksikan perbalahan di antara pemandu akibat kemalangan.

“Kebelakangan ini kerap rakaman video memaparkan insiden tegang antara pengguna jalan raya di muat naik di media sosial.

“Nasihat saya, jika berlaku kemalangan sekali pun serahkan kepada pihak berwajib melakukan siasatan kerana pergaduhan tidak membawa sebarang kebaikan dan penyelesaian malah mendatangkan kesusahan,” katanya.

“Rata-rata kenderaan dilindungi insurans, maka gunakanlah manfaatnya tidak perlu sehingga bercakaran satu sama lain,” ujar beliau.

Terdahulu, tular sebuah rakaman video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan seorang lelaki memukul warga emas sehingga terjatuh atas jalan berdekatan jejantas Padang Jawa di Shah Alam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru