Friday, July 1, 2022

Terbeban dengan pinjaman rumah selama 30 tahun

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen terbuka untuk berbincang dengan Kerajaan Sarawak bagi menangani harga rumah di Sarawak yang dianggap paling mahal dan tidak mampu dimiliki di seluruh Malaysia.

Menurutnya, terdapat banyak cara untuk menurunkan harga rumah agar mampu dimiliki oleh rakyat biasa.

“Disebabkan oleh sekatan masa untuk berdebat, saya tidak akan menyenaraikan langkah-langkah tersebut kerana ia melibatkan analisis dan perbincangan yang sangat terperinci.

“Tetapi jika anda mengambil berat, saya terbuka untuk berbincang dengan penggubal dasar di Kementerian Perumahan untuk berkongsi pendapat saya,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Isnin.

Chong yang juga Adun Padungan berkata berdasarkan purata nisbah harga rumah kepada pendapatan rakyat Sarawak pada tahun 2020, ia adalah membimbangkan dan disifatkan sebagai sangat tidak mampu dimiliki.

Menjelas lanjut, beliau berkata dalam istilah yang lebih umum, jika pembeli rumah di bahagian lain di Malaysia mengambil masa 20 tahun untuk membayar balik pinjaman perumahan, pembeli rumah di Sarawak akan mengambil masa 30 tahun untuk membayar balik pinjaman perumahan.

Justeru, katanya berdasarkan pendapatan isi rumah penduduk Sarawak di Sarawak, harga rumah di Sarawak dianggap paling mahal dan tidak mampu dimiliki di seluruh Malaysia.

“Akibat itu, kebanyakan anak muda di Sarawak terbeban dengan pinjaman perumahan melebihi 25 tahun hingga 30 tahun, melainkan mendapat sokongan kewangan ibu bapa,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru